
ŠKODA KAROQ SportLine, ENJIN 2.0 TSI EVO, SIAP KERUSI SPORT!
ŠKODA Karoq dilancarkan pada tahun 2017 dan SUV kedua ŠKODA selepas Kodiaq diperkenalkan pada tahun 2016.
Karoq menerima sambutan hangat, berjaya menduduki takhta SUV terlaris ŠKODA pada tahun 2020 dan model kedua paling banyak dibeli selepas Octavia.
Hanya beberapa tahun di pasaran, pengeluaran Karoq sudah pun melebih setengah juta unit!
Terbaru ŠKODA memperkenalkan barisan Karoq tahun 2022 dan satu varian menarik dan paling premium ialah Karoq SportLine dengan kerusi sport dan enjin 2.0 TSI Evo dari Kumpulan Volkswagen.
Ada lagi yang menarik sebenarnya, SUV segmen C ini mempunyai enjin sekecil 1.0 TSI tiga silinder berkuasa 110 PS dan tork 200 Nm. Enjin itu hanya dipadan bersama transmisi manual enam kelajuan.
Enjin 2.0 TSI Karoq berkuasa 190 PS dan tork 320 Nm dan menggunakan transmisi tujuh kelajuan DSG. Karoq SportLine satu-satunya varian yang menerima pacuan semua roda (AWD).
Sistem AWD itu menggunakan klac pelbagai plat kawalan elektronik generasi keenam dengan pengurangan berat sekitar 0.8 kg berbanding unit terdahulu dan lebih cekap.
Unit kawalan bersepadu pula membolehkan sistem melakukan tindak balas dengan lebih pantas untuk melepaskan atau menyambung semula pacuan semua roda dalam tempoh tidak sampai sesaat.
Karoq memang SUV baharu tetapi tidak untuk Sportline. Varian dinamika ini pertama kali diperkenalkan pada tahun 1992 melalui ŠKODA Favorit.
Satu daripada ciri utama SportLine ialah tema warna hitam dan diteruskan pada Karoq SportLine.
Di antaranya ialah keliling gril, cermin sisi, rangka tingkap, rel bumbung, diffuser belakang yang kesemuanya hitam kilat dan kekisi hitam kusam.
Bahagian depan sedikit berbeza dengan apron, liang kemasukan udara dan perincian hitam.
Skirt sisi tampil ringkas tetapi bergaya dengan apron belakang dan riasan kesan krom pada bawah bampar.
Karoq SportLine didatangkan standard dengan lampu utama LED penuh Matrix dan roda aloi 18 inci Procyon.
Menjengah ke bahagian dalam, tema hitam diteruskan pada siling bumbung dan ke tiang tepi dan SUV ini dilengkapi kerusi sport!
Kerusi itu dibalut dengan ThermoFlux iaitu sejenis bahan yang membolehkan 4.5 kali ganda udara melaluinya berbanding fabrik biasa dan lebih selesa.
Kerusi kulit pula ditawarkan sebagai pilihan pembelian. Sulaman kontra digunakan pada tombol gear balutan kulit, perehat tangan dan stereng dengan logo SportLine.
Jalur hiasan warna Hitam Piano dipasang pada papan pemuka dan kemasan kesan karbon pada panel pintu yang menaikkan imej eksklusif, misteri dan sporti.
BACA: ŠKODA ENYAQ COUPÉ iV vRS, SUV ELEKTRIK YANG CANTIK!
BACA: ŠKODA OCTAVIA vRS 2020, WAGON ATAU SEDAN?
BACA: TAHUKAH ANDA ŠKODA AUTO BERMULA DENGAN BASIKAL?

















