Buletin

SMART #5 DIPERKENALKAN DI MALAYSIA TAK LAMA LAGI

Selepas memperkenalkan model elektrik Smart #1 dan Smart #3, nampaknya Pro-Net kini bersiap sedia untuk membawa masuk satu lagi tambahan baharu ke dalam barisan kenderaan elektrik (EV) mereka – Smart #5.

Smart #5 bukan sahaja model EV terbesar pernah dihasilkan oleh jenama ini, malah ia juga merupakan yang pertama menggunakan seni bina 800V.

Smart Malaysia telah pun membuka pendaftaran minat untuk model ini di laman web rasmi mereka, dan sekaligus mencetuskan spekulasi bahawa Smart #5 mungkin akan tampil buat pertama kali di pentas Malaysia Autoshow 2025.

Sebagai SUV segmen pertengahan, Smart #5 menawarkan dimensi yang hampir menyamai Tesla Model Y, dengan panjang 4,705mm, lebar 1,920mm dan jarak roda 2,900mm.

Ia juga tampil sebagai EV paling besar dalam keluarga Smart, menawarkan 34 ruang simpanan dalaman termasuk frunk berlampu bersaiz 72 liter dan ruang but maksimum sehingga 1,530 liter apabila tempat duduk belakang dilipat rata.

Dari segi teknologi, Smart #5 dijana oleh cip AMD V2000 dan dilengkapi paparan head-up AR bersaiz 25.6-inci, kluster meter digital 10.25-inci serta dua skrin OLED 13-inci untuk sistem infotainmen tengah dan penumpang hadapan.

Varian lebih tinggi pula hadir dengan sistem audio Sennheiser Signature 20 pembesar suara berkuasa 1,190W – naik taraf ketara daripada sistem Beats Audio pada model Smart terdahulu.

Varian asas, Smart #5 Pro, menggunakan motor tunggal dengan kuasa 250kW (335hp) dan 373Nm tork, mampu memecut 0-100km/j dalam 6.9 saat.

Ia dipadankan dengan bateri LFP 76kWh 400V yang menawarkan jarak sekitar 465km (kitaran WLTP) dan menyokong pengecasan pantas DC 150kW, cukup untuk cas 10-80% dalam 30 minit.

Model Premium pula membawa bateri NMC 100kWh berasaskan sistem 800V dengan jarak maksimum hingga 590km.

Pengecasan pantas sehingga 400kW boleh dilakukan, dengan tempoh hanya 18 minit dari 10 ke 80%. Versi pacuan semua roda (AWD) pula menambah satu lagi motor 165kW, menjadikan kuasa keseluruhan kepada 432kW (579hp) dan 643Nm, dengan pecutan 0-100km/j dalam 4.9 saat dan jarak sekitar 540km.

Bagi mereka yang mahukan rupa lebih lasak, Smart turut menawarkan varian Summit Edition yang lengkap dengan aksesori.

Namun bagi peminat prestasi, Brabus muncul sebagai varian paling berkuasa, dengan 475kW (637hp), 710Nm tork dan pecutan 0-100km/j dalam hanya 3.8 saat.

Ia turut dilengkapi rim Monoblock Z 21-inci, kemasan merah ikonik, stereng Alcantara dan tempat duduk mikrofiber serta bunyi enjin tiruan khas untuk pengalaman pemanduan lebih imersif.

Beralih pada harga, di China, harga jualan bermula sekitar CNY239,900 (anggaran RM138,500) bagi model asas, manakala versi Brabus dijual pada CNY329,900 (sekitar RM190,500).

Adakah Smart #5 bakal mencuri tumpuan di Malaysia Autoshow tahun ini? Nantikan pengumuman rasmi dalam masa terdekat. – SoyaCincau

Google ads
Back to top button