
CUBAAN BYD TUNTUT HAK NAMA DENZA DI INDONESIA GAGAL
Usaha BYD untuk mendapatkan hak eksklusif terhadap nama Denza di Indonesia tidak berjaya selepas tuntutan mereka ditolak oleh mahkamah.
Isu ini timbul apabila terdapat pertikaian berhubung siapa yang layak memegang hak sah terhadap nama berkenaan, yang turut digunakan oleh PT Worcas Nusantara Abadi (WNA) di Indonesia sebelum ini.
Untuk makluman, PT WNA telah mendaftarkan nama Denza pada 3 Julai 2023 untuk Kelas 12 yang merangkumi kenderaan bermotor, manakala BYD hanya mengemukakan permohonan pada 8 Ogos 2024, lebih setahun kemudian.

Bagaimanapun, BYD menegaskan bahawa Denza, yang dikenali sebagai jenama hasil kerjasama antara BYD dan Mercedes-Benz, telah lama digunakan dalam pasaran automotif China.
Namun, apabila BYD mula meluaskan pengaruh ke pasaran Indonesia, mereka menghadapi halangan apabila nama itu didakwa telah pun didaftarkan lebih awal oleh sebuah entiti tempatan.
Mahkamah Indonesia memutuskan bahawa tuntutan BYD untuk membatalkan cap dagangan pihak tersebut tidak mempunyai asas yang kukuh, sekaligus mengekalkan hak penggunaan nama Denza kepada pemegang asalnya.
Keputusan ini mengehadkan kemampuan BYD untuk menggunakan nama itu bagi produk mereka di pasaran Indonesia, sekurang-kurangnya buat masa ini.
Dalam kenyataan balas, BYD Indonesia menyatakan bahawa mereka akan terus menghormati sistem perundangan dan kekal komited terhadap usaha mereka untuk memperkenalkan lebih banyak pilihan mobiliti elektrik meskipun menghadapi cabaran berkenaan hak cap dagangan.