
TAN CHONG MOTOR – SGM WULING LANCAR JENAMA TQ WULING DI MALAYSIA
Tan Chong Motor Holdings Berhad secara rasmi memperkenalkan jenama baharu TQ WULING untuk pasaran Malaysia, hasil kerjasama strategik bersama pengeluar automotif China, SAIC GM Wuling Automobile Co Ltd (SGM Wuling).
Langkah ini menyatukan kepakaran tempatan Tan Chong dalam pemasangan dan pengedaran kenderaan dengan teknologi kenderaan elektrik yang dimiliki SGM Wuling.
Sebagai langkah pertama, TQ WULING akan melancarkan model elektrik kompak yang dikenali sebagai TQ WULING Bingo, dijadual tiba di pasaran Malaysia pada suku keempat 2025.

Model ini bakal dipasang secara tempatan di kilang milik Tan Chong Motor di Segambut, dan disasarkan untuk ditawarkan pada harga bawah RM100,000, menjadikannya antara EV mampu milik di negara ini.
Model TQ WULING Bingo EV telah dilancarkan di pasaran Indonesia dan Thailand. Di kedua-dua negara tersebut, Bingo ditawarkan dengan dua pilihan bateri iaitu 31.9kWh dan 37.9kWh, menggunakan teknologi Lithium Ferro-Phosphate (LFP).
Varian bateri lebih kecil mampu menawarkan jarak pemanduan sekitar 333 km (mengikut kitaran NEDC), manakala varian lebih besar boleh mencecah sehingga 410 km.

Kedua-duanya digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 50kW (bersamaan 68hp) dengan daya kilas 150Nm.
Keseluruhan rangkaian pengedaran dan selepas jualan untuk TQ WULING akan dikendalikan oleh Tan Chong Motor Group, termasuk pemasangan tempatan serta pengurusan pusat servis di seluruh negara.
Ini memastikan pengguna Malaysia mendapat pengalaman pemilikan yang lancar, dengan sokongan penuh dari segi servis dan alat ganti.
Untuk maklumat lanjut mengenai TQ WULING dan TQ WULING Bingo, pengguna boleh melayari laman rasmi www.tqwuling.my.
GALERI:












