Buletin

HOTEL CASUARINA@MERU DAN TNB PERKUKUH KERJASAMA PACU INFRASTRUKTUR PENGECAS EV DI PERAK

Dalam usaha memperkasa pembangunan mampan dan pelancongan hijau di Perak, Hotel Casuarina@Meru kini melangkah setapak ke hadapan menerusi kerjasama strategik bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi pemasangan fasiliti pengecas kenderaan elektrik (EV) di hotel berkenaan.

Perjanjian tersebut dimeterai dalam satu majlis rasmi di Casuarina Convention Centre yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad.

Turut hadir ialah barisan kepimpinan utama negeri dan korporat, termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan serta Pengerusi Casuarina Meru Sdn. Bhd., Dato’ Mohd Azhar Jamaluddin.

Menerusi perjanjian ini, TNB akan memasang satu unit pengecas pantas DC 120kW (CCS2) serta dua unit pengecas AC 22kW, lengkap dengan ruang parkir khas, akses 24 jam, dan sistem pembayaran digital melalui aplikasi mudah alih.

Kemudahan ini bukan sahaja mesra pengguna, malah merupakan antara pengecas terpantas di kalangan semua hotel di Ipoh.

Menurut Dato’ Seri Saarani, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada aspirasi Perak Sejahtera 2030 di bawah Flagship 12 – Sumber Air dan Tenaga Boleh Diperbaharui, yang menekankan ekonomi hijau melalui inovasi, pelaburan dan penciptaan pekerjaan.

Sehingga kini, sebanyak 149 petak pengecas EV telah dibangunkan di 56 lokasi strategik di seluruh Perak, merangkumi kawasan bandar, luar bandar dan destinasi eko-pelancongan — hampir 30 peratus daripada sasaran 500 pengecas menjelang 2025.

Pengerusi Casuarina Meru Sdn. Bhd., Dato’ Mohd Azhar berkata, inisiatif ini memperkukuh kedudukan hotel sebagai destinasi pilihan berasaskan kelestarian, sejajar dengan komitmen untuk menyokong agenda negeri dan alam sekitar.

Majlis turut menyaksikan demonstrasi langsung pengecasan menggunakan model Proton e.MAS, memberi gambaran nyata tentang teknologi EV tempatan dan kesesuaian infrastruktur semasa.

Kemudahan pengecas EV ini dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga tahun 2025 di bawah jenama Elektron milik TNB, sekali gus menyumbang kepada matlamat nasional menempatkan 10,000 pengecas EV menjelang tahun ini.

Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq turut mengumumkan pemasangan panel solar di bumbung Casuarina Convention Centre dan kawasan parkir hotel, serta pemasangan lampu jalan solar di Bulatan Sultan Azlan Shah sebagai sebahagian daripada usaha menyeluruh ke arah pengurangan pelepasan karbon.

Google ads
Back to top button