
GR86 CUP MALAYSIA SERIES 2025: PLATFORM BAHARU PELUMBA UJI KEMAHIRAN
Tahun 2025 bakal menyaksikan satu lembaran baharu dalam arena perlumbaan tempatan apabila GR86 Cup Malaysia Series diperkenalkan secara rasmi, menampilkan jentera sports coupe terkini Toyota GR86 sebagai tunggak utama perlumbaan.
Dianjurkan oleh Haro Sports and Entertainment Sdn Bhd, siri eksklusif ini akan membuat kemunculan sulung sebagai acara sokongan kepada pusingan Malaysia dalam kalendar 2025 SUPER GT Series, yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Jun di Litar Antarabangsa Sepang.
Dua lagi pusingan dijadualkan berlangsung tahun ini – satu ketika perlumbaan Malaysia Championship Series 300km, dan penutup musim berupa perlumbaan epik sejauh 86 pusingan di lokasi yang sama.

Sebanyak 30 unit GR86 Cup akan ditawarkan kepada peserta, berdasarkan siapa cepat dia dapat. Model perlumbaan ini diimport terus dari Jepun dan ditawarkan pada harga RM208,315.00 seunit (termasuk cukai jualan dan kelulusan motorsport AP), siap dihantar ke Sepang.
Direka khusus untuk kegunaan litar sahaja, jentera GR86 Cup ini tidak dibenarkan digunakan di jalan raya awam. Ia dibina mematuhi piawaian kategori SP1 dalam Kejohanan Malaysia 2025.
Di sebalik bonet, enjin boxer 4 silinder 2.4L aspirasi natural yang dilengkapi sistem pancitan terus dan port D-4S milik Toyota menjana 228hp pada 7,000rpm dan 250Nm tork pada 3,700rpm.
Berat keseluruhan jentera bersama pemandu adalah sekitar 1,290kg, menawarkan nisbah kuasa kepada berat yang agresif. Sistem ekzos penuh daripada Fujitsubo turut menyumbang kepada prestasi jentera ini.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual 6-kelajuan bersama diferensial jenis Torsen LSD. Transmisi ini telah dinaik taraf dengan klac perlumbaan jenis plat tunggal dari Cusco serta sistem penyejuk tambahan untuk ketahanan maksimum.
Penalaan elektronik bagi throttle dan stereng kuasa elektrik turut dioptimumkan untuk kawalan lebih tepat dan stabil, terutama ketika input pemanduan yang agresif.
Aspek membrek diperkukuh dengan kaliper jenis monobloc Advics – empat piston di hadapan dan dua piston di belakang – diperbuat daripada aluminium padu.
Ia digandingkan dengan cakera dua bahagian bersaiz 345 x 30mm di depan dan cakera belakang satu bahagian bersaiz 330 x 26mm.

Untuk perlindungan maksimum, struktur keselamatan roll cage direka dengan enam titik utama bersama palang sisi di kedua-dua belah pemandu dan penumpang, memenuhi piawaian “Speed B” dan “Speed SA” JAF dengan diameter paip 40mm – melebihi syarat minimum.
Komponen keselamatan tambahan termasuklah sistem pemadam kebakaran, tempat duduk baldi FIA Bride ZETA, dan tali pinggang keselamatan 6-point.
GR86 Cup Malaysia menjanjikan aksi sengit dan kemahiran pemanduan tulen, satu lagi bukti komitmen Toyota dalam mendekatkan DNA perlumbaan kepada peminat sukan permotoran tempatan.
Nak tahu siapa bakal juara musim sulung? Tunggu kemunculan perdana di Sepang, Jun nanti.


