Motosikal

HONDA CB1000 HORNET BAKAL LANCAR DI MALAYSIA AUTOSHOW 2025?

Hujung minggu ini akan berlangsungnya acara automotif terbesar di Malaysia menerusi Malaysia Autoshow 2025 (MAS2025).

MAS2025 bakal membariskan pelbagai jenama dari dua hingga empat roda dan antara yang akan terlibat adalah Honda yang difahamkan akan melancarkan dua model baharu untuk pasaran tempatan.

Kami difahamkan, salah satu dari model yang akan dilancarkan adalah Honda CB1000 Hornet baharu.

Kami telah pun menyaksikan CB1000 Hornet ini lebih awal Ketika di Tokyo Motorcycle Show 2024 dan EICMA 2024 dan sememangnya motosikal hypernaked dari Honda itu mencuri tumpuan.

Bagi pasaran global, Honda memperkenalkan dua versi, CB1000 Hornet dan CB1000 Hornet SP. Versi standard menawarkan 150hp pada 11,000rpm dan 104Nm pada 9,000rpm sementara varian SP hadir dengan 155hp dan 107Nm. Berat (basah) pula sekitar 211kg sahaja.

Bagaimanapun untuk pasaran Malaysia, kami jangkakan hanya satu varian sahaja ditawarkan. Berdasarkan gambar ‘teaser’ yang dikongsikan di media sosial jelas menampakkan varian SP ekoran kelihatan fork dan rim berwarna emas.

Untuk rekod, CB1000 Hornet ini mengguna pakai platform CB1000RR keluaran 2017 dengan ukuran bore dan stroke yang sama namun telah ditala semula agar menghasilkan kuasa ‘midrange’ yang lebih baik berbanding kuasa puncak. Nisbah mampatan juga diturunkan kepada 11.7:1 berbanding 13:1 sebelum ini.

Selain itu, talaan signifikan turut dilaksanakan pada profil cam dan ‘timing’ sekaligus enjin ini tidak perlu lagi ‘rev’ sehingga 13,000rpm untuk mencapai kuasa puncak. Sistem transmisi juga dipinjamkan dari CBR1000RR 2017 termasuk klac ‘assist/slipper’. Dalam pada itu, versi SP didatangkan dengan ‘quickshifter’ secara standard.

Pakej elektronik pula terdiri dari mod menunggang yang merangkumi Rain, Standard dan Sport serta dua tetapan ‘rider’. Juga terdapat empat mod ‘traction control, tiga tetapan kuasa, tiga tetapan ‘engine braking’ dan ‘wheelie control’. Sayangnya, CB1000 Hornet dan CB1000 Hornet SP ini tidak dilengkapi dengan IMU.

Sementara itu, kedua-dua varian hadir dengan fork Showa SFF-BP 41mm (boleh laras sepenuhnya bagi ‘compression’ dan ‘rebound’ serta ‘preload’). Namun, penyerap hentak belakang berbeza bagi kedua-dua varian dengan SP menawrkan Öhlins TTX 36.

Cerita sama bagi pakej brek dengan SP lengkap dengan Brembo Stylema manakala varian standard dipadankan dengan brek Nissin.

Google ads
Back to top button