
TOYOTA BERI AMARAN: EV BUKAN MASA DEPAN KERETA SPORTS!
Ketika kebanyakan pengeluar kenderaan berlumba-lumba memperkenalkan barisan model elektrik, Toyota mengambil pendirian yang agak berbeza – terutama apabila bercakap soal kereta sports.
Pengerusi Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda, dengan lantang menegaskan bahawa kereta sports sebenar mesti kekal dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan tidak hanya bergantung kepada motor elektrik yang senyap.
“Bau petrol dan deruman enjin – itulah kereta sports bagi saya,” kata Toyoda. Beliau bukan sekadar figura korporat, sebaliknya aktif di litar lumba dan pernah bertanding dalam perlumbaan ketahanan Nürburgring dengan nama samaran Morizo.
Walaupun Toyota pernah mempamerkan konsep kereta sports elektrik FT-Se hampir dua tahun lalu, setakat ini tiada petunjuk kukuh bahawa versi produksi akan muncul dalam masa terdekat.

Menurut laporan industri, projek tersebut dijangka hanya bersedia selepas 2026. Jurutera yang mengendalikan projek ini merancang coupe berprestasi tinggi dengan pacuan semua roda dan dua motor elektrik – satu di hadapan dan satu di belakang – mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam sekitar tiga saat.
Namun bagi Toyoda, semua itu belum cukup untuk menggantikan keseronokan sebenar yang ditawarkan enjin petrol. Beliau mempersoalkan kemampuan EV dalam konteks perlumbaan, terutamanya dari segi ketahanan bateri.
“Kereta elektrik di litar tak tahan lama. Perlumbaan boleh jadi soal siapa paling cepat cas semula,” katanya.
Ini bukan kali pertama beliau menyuarakan keraguan terhadap penguasaan total EV. Toyoda pernah menyatakan bahawa kenderaan elektrik hanya akan membentuk sekitar 30 peratus jualan global, dan selebihnya masih memerlukan pelbagai pilihan teknologi termasuk hibrid, enjin pembakaran, serta hidrogen.
Menariknya, walaupun skeptikal terhadap EV sebagai pengganti kereta sports, Toyota terus memperluas tawaran model elektrik termasuk model SUV dan sedan seperti bZ3 dan bZ7. Tetapi bagi segmen prestasi tinggi, nampaknya mereka masih memberi tumpuan kepada model konvensional.
Malah, nama-nama ikonik seperti Celica dan MR2 disebut-sebut bakal kembali, selain kelangsungan Toyota Supra yang dikatakan akan meneruskan legasi ke generasi seterusnya.
Selain itu, Toyota juga dilapor sedang membangunkan kereta sports baharu berdasarkan platform perlumbaan GT3, yang mungkin diperkenalkan di bawah jenama Lexus.
Di peringkat antarabangsa, pegawai kanan Toyota turut memberi jaminan kepada peminat automotif bahawa kereta dengan enjin petrol dan transmisi manual “akan terus hidup”.
Seperti dinyatakan oleh Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Toyota Australia, Sean Hanley, ramai pemandu masih mahukan pengalaman pemanduan yang ‘berjiwa’, bukan hanya kecekapan.