
ZONTES 703F, 368E DAN 368D LANCAR MINGGU INI
Zontes merupakan antara jenama motosikal yang akan terlibat di Malaysia Autoshow 2025 (MAS2025) yang akan berlangsung minggu ini di MAEPS, Serdang.
Kami difahamkan, Zontes Malaysia akan menggunakan MAS2025 untuk memperkenalkan tiga model baharu untuk pasaran tempatan menerusi 703F, 368D dan 368E.

Ketibaan ketiga-tiga model ini sudah pun dijangka selepas beberapa tempatan telah pun diterbangkan ke Guangzhou, China tahun lalu bagi merasai sendiri kemampuan ketiga-tiga model ini disamping 368G yang telah pun dilancarkan lebih awal.

Zontes 703F
Zontes 703F merupakan motosikal paling berkuasa pernah dibangunkan Zontes ekoran dipacu enjin tiga silinder 699cc dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 97hp pada 10,000rpm dan 76Nm pada 7,500rpm. Kuasa pula disalurkan menerusi transmisi manual 6-kelajuan yang dioperasikan sistem quickshifter dan ‘traction control’.
Motosikal ini turut dilengkapi dengan grip pemanas dan panel meter TFT 6.75-inci yang boleh disambung ke peranti pintar. Juga ditawarkan pengecas USB, dashcam serta sistem tanpa kunci (keyless).
Pakej suspensi juga cukup mengagumkan dengan fork depan jenis USD dan penyerap hentak belakang yang dibekalkan Marzocchi. Brek pula merangkumi brek jenis radial dari J.Juan yang dipadankan bersama cakera brek berkembar di depan dan menawarkan fungsi ABS.
Zontes 368E dan 368D

Untuk rekod, Zontes 368E dan 368D merupakan naik taraf dari 350E dan 350D yang ditawarkan di Malaysia sebelum ini.
Meskipun kedua-duanya hadir dengan reka bentuk mirip model sebelumnya namun terdapat beberapa naik taraf dari sudut rekaan yang telah dilaksanakan antaranya bahagian ekzos.
Namun perubahan terbesar adalah masing-masing kini dipacu dengan unit satu silinder 368cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 38.8hp dan 40Nm. Ini bermakna 368E dan 368D kini menawarkan kenaikan 2.6hp dan 2Nm berbanding model 350cc.

Kami juga berpeluang menyaksikan kedua-dua model lebih awal ketika lawatan ke kilang Zontes tahun lalu dan kenaikan kuasa dan tork jelas menghasilkan prestasi yang jauh lebih baik dan efisien berbanding versi 350cc.
Selain itu, Zontes turut menaik taraf kapasiti bahan api 368E kepada 17L berbanding 16L yang ditawarkan 350E namun begitu, 368D masih mengekalkan tangki 12L.
Zontes Malaysia dijangka akan mengumumkan harga bagi ketiga-tiga model pada hari pelancaran yang dijadualkan berlangsung di MAS2025.