
SPRM SIASAT NGO SELEWENG DANA BANTUAN SYRIA RM26 JUTA BELI KERETA, RUMAH, KRIPTO
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya aktif dalam misi kemanusiaan kini disiasat pihak berkuasa selepas didakwa menyeleweng sumbangan orang ramai berjumlah RM26 juta, termasuk dana lebihan daripada projek pembinaan telaga di Syria.
Menurut sumber, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan modus operandi licik pertubuhan itu dipercayai memindahkan dana NGO ke akaun peribadi individu tertentu bagi tujuan membeli aset mewah seperti barang kemas, kenderaan, tanah, rumah dan pelaburan mata wang kripto.
Kegiatan yang dipercayai telah berlaku sejak tahun 2015 itu terbongkar menerusi Op Serantau yang dilancarkan SPRM Selangor minggu lalu. Lima individu telah ditahan termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari serta pegawai kewangan NGO berkenaan.
“Serbuan dilakukan di beberapa lokasi sekitar Selangor, Melaka dan Pulau Pinang bermula Khamis lalu. Lima suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan,” kata sumber.
Tambahnya, modus operandi NGO tersebut mirip kes penyelewengan dana yang pernah melibatkan pertubuhan Aman Palestin – dengan pemindahan dana ke akaun peribadi, pembelian aset mewah, serta pemberian pinjaman dalaman kepada kakitangan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan tangkapan dan rampasan aset dalam kes tersebut. Antara yang telah disita ialah:
- Wang tunai lebih RM1 juta
- Barang kemas dianggarkan bernilai RM100,000
- Akaun mata wang kripto bernilai kira-kira RM650,000
- Empat unit hartanah bernilai lebih RM1.4 juta
SPRM turut membekukan 14 akaun bank melibatkan nilai hampir RM5 juta sebagai sebahagian daripada siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta AMLATFPUAA 2001 berhubung salah guna kuasa serta pengubahan wang haram,” jelas Azam.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan bahawa SPRM menahan empat individu termasuk tiga ahli jawatankuasa NGO kerana dipercayai bersubahat dalam penyelewengan dana. Kesemua mereka, dua lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan 30-an ditahan semasa hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.
Susulan siasatan tersebut, SPRM turut menahan pengerusi NGO terbabit yang disyaki menyalahgunakan kuasa dan memanipulasi dana pertubuhan untuk kepentingan peribadi.
Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti skala penuh penyelewengan dan individu lain yang mungkin terlibat. – Harian Metro







