Buletin

INI BEZA FORGED RIM DENGAN RIM BIASA….

Dalam dunia automotif, pemilihan rim sukan bukan sekadar rekaan yang menawan, tetapi turut memberi kesan besar kepada prestasi, keselamatan dan pengalaman pemanduan. Salah satu jenis rim yang sering dianggap terbaik dalam kalangan peminat kereta ialah forged wheels, atau rim tempa.

Berbeza dengan rim biasa yang dihasilkan melalui proses tuangan (iron cast), forged wheels dibuat menggunakan teknik yang jauh lebih kompleks dan berteknologi tinggi menjadikannya antara komponen paling premium dalam dunia roda kenderaan.

Secara asasnya, forged wheels dihasilkan daripada satu blok logam pepejal, yang biasaannya blok aloi aluminium, yang akan ditekan dengan tekanan yang sangat tinggi sehingga membentuk struktur rim. Proses ini bukan sekadar membentuk rupa, tetapi turut mengubah susunan dalaman logam tersebut.

Apabila logam dimampatkan dengan tekanan ekstrem, struktur molekul atom di dalamnya menjadi lebih padat dan tersusun rapi. Hasilnya ialah rim yang jauh lebih kuat berbanding rim cast, yang dihasilkan dengan mencairkan logam sebelum dituangkan ke dalam acuan.

Kelebihan utama forged wheels terletak pada kekuatannya. Disebabkan struktur dalaman logam yang lebih padat, rim jenis ini mampu menahan tekanan dan beban yang lebih tinggi tanpa mudah mengalami kerosakan.

Dalam situasi sebenar seperti melanggar lubang jalan atau mengambil selekoh pada kelajuan tinggi, forged wheels lebih cenderung untuk bengkok berbanding terus retak atau pecah seperti rim biasa. Ini memberi kelebihan dari segi keselamatan kerana kerosakan jenis bengkok masih boleh dikawal berbanding kegagalan struktur.

Selain itu, forged wheels juga terkenal kerana ia lebih ringan. Oleh kerana kekuatannya yang tinggi, jurutera tidak perlu menggunakan bahan yang terlalu tebal untuk mencapai tahap ketahanan yang diingini. Ini membolehkan reka bentuk rim yang lebih nipis dan ringan tanpa menjejaskan kekuatan.

Pengurangan berat ini memberi kesan besar kepada prestasi keseluruhan kenderaan, khususnya dari segi pecutan, braking dan pengendalian. Apabila berat roda berputar berkurang, enjin tidak perlu bekerja terlalu keras untuk memutarkan roda, sekaligus meningkatkan respons enjin.

Dari sudut pemanduan, penggunaan forged wheels boleh dirasai dengan jelas terutama pada kereta berprestasi tinggi. Steering akan terasa lebih tajam dan responsif, manakala sistem brek juga menjadi lebih efisien kerana beban yang perlu dihentikan adalah lebih ringan.

Dalam situasi pemanduan agresif atau di litar, kelebihan ini menjadi sangat ketara dan boleh memberikan perbezaan dari segi kawalan dan keyakinan pemandu. Jika dibandingkan secara langsung, forged wheels menawarkan nisbah kekuatan kepada berat (strength-to-weight ratio) yang jauh lebih baik berbanding rim cast.

Rim cast pula mempunyai kelebihan dari segi kos kerana proses pembuatannya lebih mudah dan murah. Tapi ia lebih berat dan kurang tahan terhadap tekanan tinggi. Oleh itu, pilihan antara forged dan cast banyak bergantung kepada keperluan serta bajet pengguna.

Persoalan sama ada forged wheels berbaloi atau tidak sebenarnya bergantung kepada cara penggunaan kenderaan. Bagi mereka yang kerap memandu secara agresif, menyertai track day atau memiliki kereta berprestasi tinggi, pelaburan dalam forged wheels memang masuk akal kerana kelebihan yang ditawarkan benar-benar dapat dimanfaatkan. S

Bagi pemanduan harian di bandar dengan gaya pemanduan santai, rim cast sudah mencukupi dan lebih praktikal dari segi kos. Salah satu sebab utama forged wheels dijual pada harga yang tinggi ialah proses pembuatannya yang rumit. Ia memerlukan mesin khas yang mampu menghasilkan tekanan ekstrem, serta kawalan kualiti yang ketat bagi memastikan setiap rim memenuhi standard kekuatan yang ditetapkan.

Selain itu, proses ini juga mengambil masa lebih lama berbanding tuangan biasa, menjadikannya lebih mahal dari segi kos pengeluaran. Walaupun harganya lebih tinggi, nilai yang ditawarkan setimpal bagi mereka yang benar-benar menghargai aspek pemanduan dan prestasi. Bagi kegunaan harian biasa, pemilihan rim cast masih merupakan pilihan yang munasabah dan praktikal.

Google ads
Back to top button