
Kemasukan Leapmotor B10 ke pasaran Malaysia pada penghujung 2025 boleh dianggap sebagai langkah paling “kena timing” untuk jenama ini.
Ketika segmen EV semakin berkembang dan harga menjadi faktor utama, B10 hadir sebagai SUV segmen C yang cuba menawarkan keseimbangan antara kemampuan, teknologi dan praktikaliti.
Dari segi saiz, ia berada dalam kelompok sama seperti BYD Atto 3 dan Proton e.MAS 7, tetapi dengan harga bermula sekitar RM107K, jelas sasaran utamanya adalah pembeli yang mahukan EV pertama tanpa perlu berbelanja terlalu besar. Varian Life menawarkan jarak sekitar 361km (WLTP), manakala varian Design yang lebih mahal mencecah 434km.
Pengalaman pandu uji kali ini agak menyeluruh. Laluan bermula dari Damansara menuju ke Pulau Pinang, dengan hentian di Ipoh untuk makan tengah hari dan pengecasan.

Menariknya, laluan bukan sekadar lebuh raya – ada juga jalan kampung yang memberikan gambaran lebih realistik tentang bagaimana B10 berfungsi dalam situasi sebenar.
Rekaan luaran
Dari segi visual, B10 nampak lebih matang berbanding Leapmotor C10. Rekaan keseluruhan ringkas, tidak terlalu sarat, tetapi masih ada identiti tersendiri melalui elemen seperti Star Ring pada fender, rim 18-inci dan lampu belakang LED penuh.
Apa yang menarik, ia bukan sekadar cantik – angka pekali seretan 0.265 Cd meletakkannya antara SUV paling aerodinamik dalam kelas ini. Malah, kehadiran Active Grille Shutters yang biasanya hanya ditemui pada model lebih mahal menunjukkan fokus Leapmotor terhadap kecekapan.
Walaupun tiada rear wiper, kombinasi aerodinamik dan kamera 360 darjah membantu memastikan penglihatan belakang masih memadai.

Namun, ada satu perkara yang agak mengganggu dari segi penggunaan harian – sistem akses menggunakan kad NFC. Untuk masuk dan memandu, pengguna perlu tap kad pada cermin sisi dan kemudian pada konsol tengah sebelum gear boleh diaktifkan.
Dari sudut keselamatan mungkin masuk akal, tetapi dalam situasi harian, ia terasa sedikit leceh.
Dengan kelegaan tanah 170mm, B10 juga nampak praktikal untuk kegunaan di Malaysia, termasuk berdepan situasi jalan tidak sempurna atau banjir kilat ringan.
Kabin minimalis
Masuk ke dalam kabin, pendekatan minimalis masih dikekalkan tetapi tidak sampai tahap ekstrem. Skrin infotainment 14.6-inci menjadi fokus utama, disokong oleh paparan digital 8.8-inci yang cukup jelas untuk maklumat asas pemanduan.
Panoramic sunroof seluas 1.8 meter persegi memberi kesan ruang lebih lapang, sesuatu yang pasti dihargai penumpang belakang. Dalam cuaca panas Malaysia, kehadiran penutup automatik memang penting dan berfungsi dengan baik.

Material tempat duduk menggunakan tekstil silikon dengan pensijilan OEKO-Tex, yang bukan sahaja selesa tetapi juga lebih selamat untuk kesihatan – satu pendekatan yang nampak difikirkan untuk penggunaan keluarga.
Dari segi praktikaliti, B10 menyerlah dengan 22 ruang simpanan di seluruh kabin. Ditambah pula dengan USB-C 60W yang benar-benar pantas, penggunaan harian terasa lebih mudah, terutama bagi pengguna yang banyak bergantung pada peranti mudah alih.
Ruang belakang juga luas hasil jarak roda 2,735mm, manakala ruang kargo sekitar 430 liter boleh dikembangkan sehingga 1,700 liter apabila tempat duduk dilipat. Secara keseluruhan, ini antara kabin paling praktikal dalam kelasnya.

Pemanduan – B10 beri kejutan
Jika ada satu aspek yang benar-benar menonjol, ia adalah talaan pemanduan B10. Dengan konfigurasi pacuan roda belakang dan output sekitar 215hp serta 240Nm, prestasinya mungkin tidak mengujakan di atas kertas, tetapi di jalan sebenar ia terasa cukup responsif.
Lebih menarik, keseimbangan casis sangat baik. Di lebuh raya, kereta terasa stabil dan senyap, manakala di jalan kampung, suspensi mampu menyerap permukaan tidak rata tanpa rasa terlalu lembut atau melantun.
Pengagihan berat hampir 50:50 jelas membantu dari segi kestabilan dan kawalan. Steering pula mempunyai berat yang sesuai – tidak terlalu ringan, memberikan sedikit rasa keyakinan ketika mengambil selekoh.
Secara ringkas, B10 tidak cuba menjadi SUV sporty, tetapi ia berjaya mengelakkan rasa “floaty” yang biasa ditemui pada EV bajet. Hasilnya adalah pengalaman pemanduan yang seimbang dan mudah diterima.

Teknologi & bateri – cukup moden untuk harga
B10 menggunakan seni bina LEAP 3.5 bersama teknologi CTC 2.0+, yang menjadikan struktur kenderaan lebih ringan dan efisien. Ini bukan sekadar angka teknikal, tetapi memberi kesan nyata kepada pemanduan dan penggunaan tenaga.
Dari segi pengecasan, 30 hingga 80 peratus boleh dicapai dalam masa kurang 20 minit menggunakan DC fast charger. Untuk kegunaan harian dan perjalanan antara bandar, angka jarak 361km hingga 434km sudah mencukupi.
Keselamatan – lebih matang, tapi ada satu kelemahan kecil
Sistem bantuan pemandu pada B10 terasa lebih refined berbanding model Leapmotor sebelum ini. Ia tidak terlalu agresif atau mengganggu, menjadikan pengalaman memandu lebih natural.
Namun, ada satu perkara yang mungkin menjengkelkan sesetengah pengguna – walaupun sistem ADAS dimatikan, ia akan kembali aktif setiap kali kereta dihidupkan semula. Ini mungkin memerlukan sedikit penyesuaian untuk penggunaan harian.
GALERI:

























