Buletin

TEMPAHAN TOYOTA YARIS CROSS KINI DIBUKA – DUA VARIAN, ANGGARAN HARGA MULA RM99K

UMW Toyota Motor kini telah membuka tempahan untuk Toyota Yaris Cross di pasaran Malaysia.

Pengumuman tersebut dibuat menerusi hantaran di media sosial, yang turut mengesahkan bahawa model ini akan ditawarkan dalam dua pilihan trenkuasa iaitu enjin petrol (ICE) dan juga hibrid.

Untuk pasaran tempatan, Yaris Cross hadir dalam dua varian utama iaitu 1.5 S dan Hybrid Electric. Anggaran harga yang diumumkan adalah seperti berikut:

  • Yaris Cross 1.5 S: sekitar RM99,900
  • Yaris Cross Hybrid Electric: sekitar RM109,900

Model ini berkongsi asas yang sama dengan Perodua Traz – dilancarkan di Malaysia pada tahun lalu.

Kedua-duanya dibangunkan menggunakan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) yang menekankan aspek ketahanan, kepraktisan serta kos pemilikan yang lebih efisien.

Dari segi dimensi, kedua-dua SUV ini mempunyai ukuran panjang 4,310mm, lebar 1,770mm serta jarak roda 2,525mm. Namun begitu, Yaris Cross sedikit lebih rendah sekitar 40mm berbanding ketinggian Perodua Traz yang mencatatkan 1,655mm.

Walaupun spesifikasi penuh untuk pasaran Malaysia masih belum didedahkan secara terperinci, Toyota sudah memberikan gambaran awal mengenai kelengkapan yang akan ditawarkan.

Antara ciri yang dijangka hadir termasuk:

  • Paparan TFT LCD 7 inci dengan meter digital LED
  • Sistem infotainmen skrin sentuh 10.1-inci
  • Sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar
  • Pengecas telefon tanpa wayar
  • Lampu ambien dalaman
  • Kawalan jelajah adaptif (Adaptive Cruise Control)
  • Lampu tinggi adaptif (Adaptive High Beam)
  • Tempat duduk pemandu larasan kuasa 8 hala
  • Sistem telematik kenderaan
  • Rim aloi dua tona bersaiz 18-inci

Dari segi jaminan, varian petrol ditawarkan dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan, manakala versi hibrid pula hadir dengan perlindungan lapan tahun bagi komponen utama sistem hibrid termasuk bateri, inverter dan ECU pengurusan kuasa.

Maklumat lanjut mengenai pelancaran rasmi Toyota Yaris Cross di Malaysia dijangka akan diumumkan dari semasa ke semasa oleh pihak Toyota.

Google ads
Back to top button