Artikel Pilihan

ENJIN V6 W30 DARI HORSE POWERTRAIN, 160KG SAJA

Dalam dunia automotif yang semakin obses dengan elektrifikasi, kemunculan enjin pembakaran dalaman (ICE) baharu sangat mencuri perhatian. Malah dengan kemunculan enjin V6 terbaharu daripada Horse Powertrain membuktikan bahawa enjin petrol masih jauh daripada pupus.

Enjin yang dikenali sebagai W30 ini merupakan unit 3.0-liter V6 turbo berkembar yang dibangunkan dengan fokus utama terhadap kecekapan, fleksibiliti, dan prestasi tinggi. Apa yang benar-benar mencuri tumpuan bukan sekadar angka kuasa, tetapi bagaimana jurutera berjaya menghasilkan enjin dengan berat hanya sekitar 160 kilogram sahaja.

Berat yang rendah ini memberi kelebihan besar dari segi pengendalian kenderaan, agihan berat, dan juga kecekapan bahan api. Dari segi prestasi enjin ini mampu menghasilkan antara 469 hingga 536 kuasa kuda, dengan tork mencecah sekitar 600-700Nm.

Lebih menarik, enjin ini mampu beroperasi sehingga 8,000 rpm, satu angka yang biasanya dikaitkan dengan enjin berprestasi tinggi atau jentera sports car. Ini menunjukkan bahawa walaupun ia direka untuk masa depan yang lebih efisien, DNA prestasi masih kekal kuat dalam reka bentuknya.

Salah satu aspek paling menarik pada enjin ini ialah pendekatan reka bentuknya yang sangat kompak. Turbocharger dipasang terus pada kepala silinder, bersama penggunaan integrated exhaust manifold, menjadikan keseluruhan pakej lebih padat dan responsif.

Reka bentuk ini bukan sahaja membantu mengurangkan turbo lag, tetapi juga memaksimumkan penggunaan ruang dalam ruang enjin. Enjin ini boleh dipasang dalam konfigurasi melintang (transverse) mahupun memanjang (longitudinal), membolehkan ia digunakan dalam pelbagai jenis kenderaan seperti sedan, SUV, sehinggalah ke model prestasi tinggi.

Namun, kekuatan sebenar enjin ini terletak pada kesediaannya untuk masa depan hibrid. W30 bukan sekadar enjin petrol biasa, tetapi direka sejak awal untuk berfungsi bersama sistem elektrifikasi. Ia boleh dipadankan dengan transmisi hibrid khas 4-kelajuan yang dikenali sebagai 4LDHT bersama dua motor elektrik.

Satu motor elektrik digunakan untuk membantu enjin dan menjana tenaga dan satu lagi motor elektrik untuk memacu roda. Gabungan ini membuka potensi kepada output kuasa keseluruhan yang jauh lebih tinggi, sekaligus menawarkan keseimbangan antara prestasi dan kecekapan.

Horse Powertrain merupakan penggerak utama yang membangunkan enjin ini secara usaha sama antara beberapa pemain besar seperti Renault, Geely dan Aramco. Enjin ini dijangka akan digunakan secara meluas dalam rangkaian jenama dtermasuklah model daripada Renault, Geely, dan mungkin juga rakan strategik lain seperti Nissan, Mitsubishi, Volvo, dan Alpine.

Dengan sasaran kemunculan sekitar tahun 2028, enjin ini berpotensi menjadi tulang belakang kepada generasi baharu kenderaan hibrid berprestasi tinggi.

Google ads
Back to top button