
GWM TANK 700 DILANCARKAN DI CHINA DENGAN KUASA HINGGA 852HP – HARGA MULA RM295K
Great Wall Motor (GWM) secara rasmi melancarkan SUV off-road mewah terbaharunya, Tank 700 di pasaran China dengan pilihan trenkuasa plug-in hybrid yang mampu menjana sehingga 864hp.
Model ini menjadi perhatian kerana gabungan prestasi ekstrem, teknologi moden serta rekaan SUV ranggi yang jelas menyasarkan segmen premium dalam dunia kenderaan lasak.
Tank 700 hadir dengan dua varian utama plug-in hybrid iaitu Hi4-Z dan Hi4-T, yang masing-masing mempunyai fokus penggunaan berbeza.
Varian Hi4-Z lebih kepada penggunaan jalan bandar dan prestasi tinggi. Ia menggunakan enjin 2.0 liter turbo bersama gabungan motor elektrik berkuasa tinggi, menghasilkan jumlah keseluruhan 864hp.

SUV ini mampu memecut 0–100 km/j dalam sekitar 5.6 saat serta menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 190 km.
Namun begitu, konfigurasi ini tidak menggunakan sambungan mekanikal penuh pada sistem pacuan, menjadikannya kurang sesuai untuk situasi off-road berat berbanding versi lain.
Sementara itu, varian Hi4-T lebih fokus kepada keupayaan lasak sebenar. Ia dilengkapi enjin V6 3.0 liter bersama sistem hibrid dan transmisi automatik 9-kelajuan.

Walaupun kuasa keseluruhan lebih rendah, sistem ini disokong pacuan 4WD tradisional dengan differential lock, menjadikannya lebih sesuai untuk laluan mencabar.
Dari segi saiz, Tank 700 tampil sebagai SUV bersaiz besar dengan panjang lebih 5.1 meter dan jarak roda 3,000mm. Ia menggunakan rekaan badan bersegi, pintu belakang jenis swing serta tayar ganti dipasang di belakang.
Bahagian dalam pula menekankan elemen kemewahan dengan skrin infotainmen besar, panel instrumen digital, paparan head-up serta skrin tambahan untuk penumpang belakang.

Antara ciri menarik termasuk tempat duduk dengan fungsi urut, pengudaraan, pemanas, peti sejuk terbina dan sistem audio premium.
Tank 700 turut dilengkapi sistem bantuan pemanduan berasaskan LiDAR yang menyokong fungsi pemanduan separa autonomi di lebuh raya dan kawasan bandar, termasuk ciri parkir automatik.
Di pasaran domestik China, harga Tank 700 bermula sekitar:
- Hi4-Z Ultimate: 428,000 yuan (sekitar RM295,000)
- Hi4-Z Extreme: 468,000 yuan (sekitar RM322,000)
- Hi4-T Pinnacle: 508,000 yuan (sekitar RM350,000)
Dengan gabungan kuasa tinggi, teknologi canggih dan pendekatan mewah, Tank 700 dilihat sebagai usaha GWM untuk bersaing dalam segmen SUV premium berprestasi tinggi di China yang semakin kompetitif.

