Buletin

SPRM TAHAN PENJAWAT AWAM, TERIMA KENDERAAN BERNILAI RM90K BALASAN LULUS TENDER

Seorang pembantu tadbir kanan sebuah agensi kerajaan negeri Terengganu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan menerima rasuah pada tujuh tahun lalu.

Seorang lelaki yang juga pemilik sebuah syarikat pembekalan turut ditahan agensi tersebut bagi membantu siasatan pemberian sebuah kenderaan kepada pembantu tadbir berkenaan.

Sumber SPRM berkata, siasatan awal mengesyaki penjawat awam terbabit menerima kenderaan bernilai RM90,000 tersebut daripada pemilik syarikat berkenaan pada tahun 2016.

“Ia dipercayai sebagai balasan bagi memastikan kerja-kerja pembekalan agensi kerajaan negeri terbabit diperolehi syarikat tersebut.

“Nilai kerja-kerja pembekalan sejak tahun 2017 hingga kini dianggarkan berjumlah RM230,000,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya lagi, kedua-dua suspek ditahan ketika memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman.

Beliau berkata, dua lelaki berusia 50-an itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman bagi permohonan reman.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid yang dihubungi mengesahkan penangkapan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – KOSMO! ONLINE

Google ads
Back to top button