SURAT MITI UNTUK RENTAS NEGERI TIDAK LAKU SEHINGGA RABU DEPAN
Kerajaan hari ini memutuskan bahawa surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk merentas negeri tidak boleh digunakan selama empat hari bermula hari ini sehingga Rabu depan.
Langkah itu diambil kerana terdapat segelintir individu cuba menyalahgunakan surat tersebut untuk pulang ke kampung bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidil Adha.
“Saya fikir semua orang sudah mula bercuti hari ini (sempena Hari Raya Aidiladha), pada Hari Raya Aidilfitri lalu, beratus ribu (individu) dengan pelbagai alasan termasuk menggunakan surat kebenaran merentas negeri untuk bekerja.
“Mungkin ada yang menggunakan ‘kecekapan’ mereka menipu polis dengan merentas negeri melalui jalan kebun kelapa sawit dan sebagainya. Tetapi anda tidak boleh menipu COVID-19,” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan malam tadi berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima dokumen MITI sebagai kelulusan pergerakan yang sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai, untuk pergerakan rentas negeri.
Ia berikutan pihaknya mengesan peningkatan bilangan kenderaan di lebuh raya untuk tempoh dua hari kebelakangan ini. – BERNAMA