
SUV KECIL LEXUS JADI RAKSASA 1,000HP! ENJIN 2JZ BUAT VEYRON TERGAMAM
Lexus LBX mungkin dikenali sebagai SUV kompak mewah, namun dalam versi Morizo RR, ia sudah pun membuktikan keupayaan prestasi setanding Toyota GR Yaris dan GR Corolla.
Walaupun begitu, bagi Kazama Industries, tahap itu masih belum mencukupi – apatah lagi apabila sasaran mereka adalah untuk bertanding dalam Kejohanan Drift Formula D.
Model ekstrem yang dipamerkan di Tokyo Auto Salon ini hampir tidak lagi menyerupai LBX standard. Di sebalik rupanya yang agresif, sistem rangkaian kuasanya telah diubah sepenuhnya.

Enjin asal 1.6 liter turbo tiga silinder disingkirkan, digantikan dengan enjin legenda Toyota 2JZ enam silinder sebaris yang telah dibesarkan kepada 3.6 liter dan dipadankan dengan pengecas turbo tunggal.
Menurut pasukan pembangunannya, talaan enjin masih dalam proses akhir, namun sasaran kuasa melebihi 1,000hp – angka yang biasanya dikaitkan dengan jentera hiper seperti Bugatti Veyron.
Seiring peranannya sebagai kereta drift, sistem pacuan semua roda turut digugurkan dan diganti dengan pacuan roda belakang. Turut dipasang ialah transmisi sekuensial lima kelajuan serta tangki bahan api spesifikasi perlumbaan.

Dari segi penampilan, LBX ini mengenakan kit badan khas daripada Artisan Spirits. Ia menampilkan gerbang roda yang dilebarkan, splitter gentian karbon bersaiz besar, bonet dengan saluran udara, serta sayap belakang tinggi yang lebih sinonim dengan kereta time attack.
Rim Rays dipadankan dengan tayar Yokohama Advan AD09 mengisi ruang roda yang lebar, manakala sistem brek Wilwood bertanggungjawab memperlahankan jentera berkuasa tinggi ini.
Suspensinya pula dibangunkan sepenuhnya khas untuk kegunaan drift, dengan talaan agresif bagi memastikan kestabilan ketika sudut gelinciran ekstrem.

Satu lagi komponen unik ialah sistem stereng kuasa elektrik, yang dipilih bagi menyokong sudut pusingan roda hadapan yang sangat besar – penting untuk kawalan tepat ketika masuk dan bertukar arah semasa drift.
Kazama Industries turut memperkenalkan satu lagi projek radikal di acara sama, iaitu Toyota GR86 versi drift.
Model ini menggunakan enjin 2JZ 3.6 liter yang sama dengan sasaran kuasa melebihi 1,000hp, serta berkongsi banyak komponen dengan LBX, termasuk transmisi sekuensial, rim Rays, brek Wilwood dan kit badan lebar yang jelas menzahirkan identitinya sebagai jentera litar.

