
HUAWEI MAEXTRO S800 BENAM PANAMERA, BMW 7 SERIES DAN MAYBACH DI CHINA
Sedan elektrik mewah Maextro S800 hasil kerjasama Huawei dan JAC mencipta kejutan besar dalam pasaran China apabila jualannya mengatasi gabungan beberapa jenama elit Eropah bulan lalu, termasuk Porsche Panamera, BMW 7 Series dan Mercedes-Maybach S-Class.
Model ini muncul sebagai sedan mewah paling laris dalam kategori harga melebihi 700,000 yuan (sekitar RM470,000), sekali gus membuktikan kemampuan jenama teknologi China menyaingi pemain tradisional segmen premium.
Penghantaran Maextro S800 bermula pada Ogos 2025 dengan harga permulaan 708,000 yuan (sekitar RM476,000), manakala varian tertinggi mencecah 1.018 juta yuan (sekitar RM685,000). Kedudukan harga ini meletakkannya terus berhadapan dengan model mewah import serta pesaing tempatan kelas atasan.
Menurut data jualan Haidaxing ECC, S800 merekodkan 4,376 unit pada Disember 2025, peningkatan lebih dua kali ganda berbanding bulan sebelumnya. Dalam tempoh sama, Porsche Panamera yang berada di tempat kedua hanya mencatatkan 1,593 unit.

Jika digabungkan, jualan Panamera, BMW 7 Series dan Maybach S-Class adalah sekitar 4,140 unit — masih tidak mampu menandingi angka yang dicapai Maextro S800 secara bersendirian.
Prestasi ini jauh meninggalkan model mewah tempatan lain. BYD Yangwang U7 hanya menghantar 333 unit, manakala Nio ET9 mencatatkan 185 unit pada bulan yang sama.
Penganalisis melihat kejayaan S800 banyak dipacu oleh rangkaian jualan meluas Huawei melalui platform HIMA.
Malah, pada 16 Disember 2025, unit ke-10,000 model ini telah diserahkan kepada pelakon dan legenda seni mempertahankan diri, Jet Li. Jumlah penghantaran terkumpul kini dilaporkan melebihi 11,400 unit.

Dari segi dimensi, Maextro S800 tergolong dalam sedan bersaiz besar dengan panjang 5,480mm, lebar 2,000mm, tinggi 1,536mm dan jarak roda 3,370mm.
Bahagian kabin dilengkapi skrin sentuh utama 15.6-inci bersama paparan penumpang hadapan bersaiz 16-inci, selain tingkap belakang yang boleh dimalapkan secara automatik melalui kawalan gerakan tangan.
Varian elektrik sepenuhnya menggunakan dua motor dengan kuasa keseluruhan 390kW (523 hp) dan bateri 95kWh, menawarkan jarak pemanduan sehingga 702km mengikut piawaian CLTC.
Turut ditawarkan ialah versi EREV (extended-range) dengan pilihan dua atau tiga motor. Versi paling berkuasa menghasilkan sehingga 635kW (852hp), digabungkan dengan enjin 1.5 liter sebagai penjana serta bateri 65kWh yang mampu memberikan jarak elektrik antara 365 hingga 400km.
Dengan gabungan teknologi, prestasi dan sokongan jenama besar seperti Huawei, Maextro S800 kini muncul sebagai penanda aras baharu dalam segmen sedan mewah elektrik di China.

