Artikel Pilihan

SUV KOMPAK : APA PILIHAN YANG KITA ADA?

Pasaran SUV Kompak dewasa ini kalau dilihat kembali meriah dengan kehadiran beberapa model baharu di dalam pasaran. Mereka yang inginkan sesuatu yang bergaya dan kadang-kala lasak, maka sudah tentulah SUV menjadi pilihan.

Jika lama dahulu, pasaran yang ada cukup meriah dengan kehadiran model seperti Suzuki Jimny dan juga model tempatan, Perodua Kembara yang cukup popular di era KRUjaan ketika itu.

BACA : SUV MAMPU MILIK: PERODUA KEMBARA, LASAK DAN BOLEH DIHARAP

BACA : INILAH WAJAH SUV PERTAMA PROTON – GEELY BOYUE BUAT PENAMPILAN SULUNG DI MALAYSIA

Suatu masa ketika dahulu, Perodua Kembara begitu menguasai pasaran SUV kompak tanpa perlu bersaing. Banyak dibeli oleh tuan-tuan dan cik kak-cik kak yang inginkan gaya hidup urban. Ditambah pula dengan penajaan artis berkumpulan KRU sebagai duta hingga bukan kepalang hasil jualannya di kala itu.

Namun Perodua tersilap langkah apabila membuat keputusan pelik dengan me-rabdge Daihatsu Terios yang baharu secara CBU yang kemudiannya dijual sebagai Perodua Nautica.

Harga yang ditawarkan pula jauh lebih mahal dek kerana status CBU yang dipegang. Nak jual dengan volume yang tinggi serupa Kembara memang jahanamlah jurujual. Perodua di kala itu pun hanya membawa masuk beberapa ratus unit sahaja. Selepas itu, pasaran SUV kompak yang dirajai Perodua terlucut begitu sahaja.

Menyedari ruang lompong yang terbiar begitu sahaja, akhirnya ia diisi oleh Haval H1 yang mana nama sebelumnya adalah Great Wall M4. Produk yang bagus apabila disertakan dengan harga yang sepadan, ditambah pula adanya pula duta yang jelita seperti Che Ta, maka sudah tentulah hasil jualannya juga akan turut meningkat.

Formula yang cukup mudah sebenarnya. Suzuki Jimny yang mempunyai saiz lebih kurang sama juga sekali lagi dipandang sepi. Harganya yang mengarut membuatkan bakal pembeli mengurut dada. Manakala Toyota Rush dengan kapasiti tujuh tempat duduk itu pula kelihatan terlalu mahal untuk model baharu. Jadinya, tinggallah Haval H1 sendirian.

Namun kini, pasaran SUV kompak turut berkembang apabila satu lagi segmen diperkenalkan di pasaran, crossover. Secara fizikal, crossover ini sebetulnya tidaklah terlalu tinggi rupa parasnya, tetapi masih tinggi sedikit ruang kelegaan buminya berbanding sedan biasa.

Percaya atau tidak, ada crossover ini asalnya merupakan kereta sedan/hatchback biasa, tetapi telah ditala untuk kelihatan meninggi mendabik dada. Di tempat kita, yang paling popular sudah tentulah Honda BRV. Crossover dengan tujuh tempat duduk, menjadikan ia sebagai pilihan yang cukup ideal buat keluarga kecil. Cantik menarik kau memang dabomb! Meletup-letup orang kata dia punya jualan.

Sekali lagi formula mudahnya berjaya ditemui. SUV/crossover dengan pilihan tujuh tempat duduk, harga yang murah (perkiraan harga murah subjektif untuk diterangkan berapa mahalkah murah dan berapa murahkah untuk yang mahal).

Subaru XV yang tak berapa nak murah itu pun bukan main laku keras lagi. Rasanya tak terlambat lagi kalau Perodua nak tala semula Myvi itu jadi crossover kan? kan?

Google ads
Back to top button