Artikel Pilihan

SUV MAMPU MILIK: PERODUA KEMBARA, LASAK DAN BOLEH DIHARAP

Kos sara hidup di bumi Malaysia kini meningkat naik dan tidak mustahil satu hari nanti kita akan setanding dengan Tokyo ataupun Hong Kong. Harga kereta baru di pasaran juga masih seperti biasa. Dengan cuaca yang tidak menentu dan poket yang kian gersang, keinginan untuk membeli kereta baru mungkin hanya tinggal impian.

Tidak mengapa kerana kami ada penyelesaian khususnya untuk mereka yang memerlukan sebuah SUV mampu milik. Andaikan anda seorang kakitangan kerajaan ataupun swasta yang baru ditukarkan ke pendalaman, ataupun baru berjinak-jinak dengan dunia perladangan dan perlukan sebuah kenderaan yang murah dan tahan lasak ataupun kawasan tempat tinggal anda selalu dilanda banjir kilat.

BACA – PERODUA KELISA, SI KECIL KALIS PELURU

BACA – KUDA BESI MERCEDES 190E

Salah satu kenderaan yang paling sesuai buat anda ialah Perodua Kembara. Kenapa? Kerana harga bagi model keluaran tahun 1998 hanyalah lebih kurang RM5000 sama dengan dengan sebuah kapcai baru. Jika ada bajet lebih anda boleh mendapatkan sebuah Kembara DVVT yang lebih menjimatkan minyak.

SUV PERTAMA JENAMA TEMPATAN

Perodua Kembara merupakan SUV pertama keluaran tempatan (rebadge tetapi masih dikira keluaran tempatan okay). Ia dikenali dengan nama DaihatsuTerios di Jepun dan juga dipasarkan di Indonesia dengan nama Taruna. Ia dikeluarkan pada penghujung tahun 1998 ketika dunia masih lagi ditimpa kegawatan ekonomi.

Kembara dibekalkan dengan enjin 1.3-liter 4-selinder SOHC 16v yang mampu menghasilkan 83hp kuasa maksima dan 105Nm tork. Ia kemudian digantikan dengan enjin DVVT DOHC 16v yang menaikkan angka kuasanya kepada 86hp dan 120Nm.

Versi asal dikatakan kurang berkuasa dan tidak ekonomik. Versi DVVT adalah lebih menjimatkan dan lebih berkuasa sedikit berbanding model asal. Sebagai model Perodua paling mahal sewaktu dilancarkan, ia turut dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api dan bukannya karburator.

Ia mempunyai pilihan automatik 4-kelajuan dan manual 5-kelajuan. Kotak gear manual sememangnya lebih menjimatkan. Enjinnya juga cukup responsif tetapi sedikit bising sewaktu memecut. Rasanya semua SUV lain pun sama kecuali jika anda memandu Range Rover Sport. Pecutan yang pantas sememangnya akan meneguk petrol dengan cepat.

Kembara juga cukup stabil kerana ia menggunakan cesi monocoque dan bukannya ladder frame seperti kebanyakan 4×4 lain. Ia juga menggunakan sistem pacuan empat roda sepenuh masa dengan differential tengah yang boleh dikunci dengan menggunakan suis pada papan pemuka untuk lebih cengkaman. Ia tidak mempunyai fungsi gear ratio rendah jadi ia hanya sesuai untuk aktiviti offroad ringan.

Kelebihan Kembara ialah ia mempunyai jarak kelegaan bumi yang tinggi iaitu 19.5cm yang membolehkannya meredah banjir dan laluan estet tanpa sebarang masalah. Untuk masuk ekspedisi 4×4 memang agak melampau tetapi tidak mustahil dengan modifikasi. Tapi itu cerita lain.

Dalamannya luas sedikit daripada Kancil dengan tempat duduk belakang boleh dijatuhkan 60:40 untuk menambahkan ruang bagasi. Cukup untuk memasukkan sebuah mesin basuh berkapasiti 10kg jika perlu.

Sebuah Perodua Kembara edisi pertama dalam keadaan baik boleh didapati dengan harga sekitar RM5000-6500 manakala versi DVVT pula dari sekitar RM10000-13000 bergantung kepada bajet anda. Malah jika anda bernasib baik anda akan mendapat model yang sudah disalin kepada Daihatsu Terios Kid yang lebih sporty.

Sama seperti model Kancil/Mira. Kembara mempunyai kelebihan sama kerana banyak berkongsi alat ganti dengan Daihatsu Terios. Malah ada pemilik yang sudah menukar enjin kepada enjin K3-VET yang berkuasa turbo. Malah kebanyakan kedai half-cut juga mempunyai pelbagai alat ganti untuk Perodua Kembara.

Tidak dinafikan penggunaan petrol untuk Kembara agak tinggi jika dibandingkan dengan kereta penumpang biasa. Tetapi bolehkah kereta penumpang biasa memasuki laluan off-road dan mengharungi banjir kilat seperti Kembara?

BACA – WAJAH GANAS LAND CRUISER

BACA – PAJERO KATIK YANG RARE?

Malah menurut sahabat kami yang menggunakan Kembara, ia merupakan sebuah kenderaan yang tidak cerewet dan tidak memerlukan penjagaan rapi. Cukup dengan servis berkala setiap 5000 kilometer sahaja dan ia akan berfungsi dengan cemerlang.

Malah cukai jalannya juga cuma berharga RM100 setahun!

 

Google ads
Back to top button