Pandu Uji

PANDU UJI: MITSUBISHI TRITON 2.4L VGT MIVEC – TRAK PIKAP KOMPAK PENUH KUASA 

Sama ada kita perasan atau tidak, akan sentiasa ada sebuah kereta di dalam satu-satu segmen yang boleh dianggap sebagai under rated atau kurang disedari kewujudan dan keistimewaannya. Pada hal, jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing lainnya, kenderaan tersebut sebenarnya tiada kekurangan atau mungkin lebih bagus.

Kenapa perkara sebegitu boleh terjadi? Antara sebabnya ialah kekuatan jenama, pelan pemasaran atau promosi yang kurang berkesan, kos pemilikan, kualiti perkhidmatan selepas jualan, persepsi dan macam-macam lagi.

Segmen trak pikap tidak terlepas daripada keadaan ini. Dengan persaingan bertambah sengit berbanding 10 tahun lalu, kesediaan maklumat yang betul mengenai sesuatu produk amat penting. Ini supaya pengguna dapat membuat keputusan berdasarkan pengetahuan dan bukan sekadar hearsay atau persepsi semata-mata.

Mitsubishi dilihat tidak pernah jemu untuk menambah baik trak pikapnya, Triton. Sebagai model bread and butter buat Mitsubishi (terutama di pasaran Malaysia) Triton perlu sentiasa bersedia untuk bersaing dan menarik perhatian pengguna yang semakin bijak menilai.

Buktinya pada tahun 2015, Triton menjadi trak pikap pertama yang ditawarkan dengan pelbagai ciri seperti kenderaan penumpang di pasaran tempatan. Antaranya ialah butang penghidup enjin, operasi tanpa kunci, lampu Bi-Xenon automatik bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED, stereng boleh laras dan paddle shifter yang diperbuat daripada magnesium.

Kalau diikutkan, semua ciri ini membuatkan Triton berada jauh di hadapan berbanding mana-mana pesaingnya.

Setahun kemudian, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) sekali lagi menambah baik Triton. Kali ini, ia menjadi trak pikap pertama dalam kelasnya yang menawarkan blok enjin aluminium aloi bersama sistem pemasaan injap boleh ubah MIVEC. Sekali gus membuatkan trak pikap ini lebih berkuasa dan efisien.

Naik taraf tersebut tidak berakhir begitu sahaja. Pada April tahun ini, MMM memperkenalkan Triton yang telah dipertingkat. Aspek penting yang ditambah baik ialah dari segi keselamatan dan peralatannya.

Untuk varian tertinggi, Triton VGT (VGT, VGT Adventure dan VGT Adventure X) kini dilengkapi ciri Active Stability Control dengan kawalan cengkaman(ASTC), Hill Start Assist, Trailer Sway Control dan pintu yang akan dikunci berdasarkan kepada kelajuan.

Jika anda memilih varian VGT Adventure dan VGT Adventure X, kabinnya kini dipasang dengan tujuh beg udara. Maka tidak hairanlah jika Triton memperoleh penarafan lima bindang dalam Program Penilaian Kereta Baharu untuk Asia Tenggara (ASEAN NCAP). Namun, baki varian lain hanya hadir dengan dua beg udara sahaja.

Untuk memudahkan pemahaman, varian, harga dan warna Triton 2017 adalah seperti berikut:

No  Varian Harga OTR termasuk GST tanpa insurans Warna
1 Triton VGT Adventure X AT (4×4) RM130,900 Impulse Blue, Titanium Grey
2 Triton VGT Adventure AT (4×4) RM123,130 Earth Green, Titanium Grey, Pearl White
3 Triton VGT AT (4×4) RM114,400 Pearl White, Sterling Silver, Titanium Grey
4 Triton VGT MT (4×4) RM107,600 Titanium Grey, Sterling Silver
5 Triton MT (4×4) RM93,920 Pearl White, Sterling Silver
6 Triton Quest MT (4×2) RM77,390 Pearl White

Baru-baru ini, krew Mekanika Malaysia berpeluang menyertai sesi pandu uji melibatkan Triton baharu di Kota Kinabalu, Sabah. Selain menjadi pasaran utama untuk Triton, landskap muka bumi yang berbukit, rugged dan mencabar itu jelas membuatkan Borneo sebagai medan terbaik untuk menguji keupayaan sebenar Triton.

Bagi membuktikan kemampuan menyeluruh Triton, laluan yang dipilih melibatkan jalan raya bertar dan off-road yang seperti nampak mudah, tetapi sebenarnya agak mencabar.

Sedia maklum bahawa model baharu itu dilengkapi oleh unit enjin VGT MIVEC bersesaran 2.4 liter. Enjin aluminium aloi itu bukan sahaja berkuasa dengan 181PS dan tork 430Nm pada 2,500 berbanding enjin 2.5 liter yang digunakan sebelum ini. Malah, ia juga menyumbang kepada kurangnya berat Triton.

Tahukah anda bahawa Triton baharu kini hampir 200kg lebih ringan? Dipadankan dengan kotak gear automatik lima kelajuan, urusan memotong kenderaan lain di lebuh raya dan mengharung laluan off-road menjadi semakin mudah.

Ya. Kotak gear INVECS III dengan sport mode itu agak ketinggalan jika dibandingkan dengan transmisi enam kelajuan pada Ford Ranger dan tujuh kelajuan pada Nissan Navara.

Biarpun begitu, padanan rangkaian kuasa tersebut membolehkan anda dapat merasa Triton meluncur pantas tanpa enjin perlu dikerah sepenuhnya. Ia bukan sahaja meningkatkan keyakinan pemandu, malah kualiti kesenyapan kabin juga dapat dinikmati sebaiknya.

Mungkin ramai yang tidak sedar rekaan Triton sebenarnya lebih kompak berbanding trak pikap lain di pasaran. Jadi, Triton lebih mudah untuk menyelit di kawasan sesak dan kurang menakutkan apabila ia hendak diparkir.

Seperti yang dijangka, Triton tidak berdepan masalah besar ketika menaiki kawasan berbukit di Kota Belud. Cuma, ketika melalui jalan berlumpur yang dalam, ia tersangkut. Itu pun kerana Triton menggunakan tayar untuk kegunaan jalan raya biasa, bukannya off-road. Selepas ditunda, Triton dapat meneruskan perjalanan seperti biasa.

Sebelum sesi pandu uji ini, Triton sudahpun menyertai beberapa acara off-road yang jauh lebih mencabar seperti Borneo Safari dan 4×4 Jamboree yang pertama kali dianjurkan di Sarawak. Maka, saya boleh katakan off-road kali ini hanya ringan-ringan sahaja.

Selepas memandu Triton 2.4L VGT MIVEC selama beberapa hari, saya boleh simpulkan bahawa trak pikap ini tiada kurangnya berbanding pesaing yang lain. Jangan percaya apa yang dibaca sahaja, pergi sendiri ke bilik pameran dan pandu uji. Anda akan faham apa yang ingin saya sampaikan.

Satu lagi perkara yang perlu anda tahu, Triton menjadi satu-satunya trak pikap yang didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 200,000km.

BACA: ANDA SUKA TRAK PIKAP? INI MITSUBISHI TRITON MONKEY DRAGSTER

Oh ya, tahukah anda Mitsubishi berada di ranking kedua dalam senarai Indeks Khidmat Pelanggan (CSI) oleh JD Power untuk tahun 2017? Itu pun kena ambil kira juga.

GALERI:

Google ads
"
"
Back to top button