Buletin

SUZUKI BAWA WAKU SPO DAN HANARE KE TMS 2019

Pada hujung Oktober ini akan berlangsung Pameran Kenderaan Tokyo (TMS) 2019 yang merupakan satu acara penting di dalam kalendar automotif dunia.

Acara itu adalah medan pengeluar Jepun mempamerkan produk sedia ada, baharu dan model konsep untuk masa depan.

Satu lagi keistimewaan TMS ialah model-model unik seperti yang dibawa Suzuki iaitu WAKU SPO dan HANARE.

Tema Suzuki pada tahun ini ialah WAKU WAKU SWITCH for EVERYONE: Excitement for you, excitement for everyone.

Suzuki bakal menyambut ulangtahun ke-100 pada tahun depan dan mahu memperkenalkan pelbagai produk dan teknologi untuk 100 tahun akan datang.

Dua model tontonan yang dibawa ke TMS 2019 ialah WAKU SPO, sebuah kereta plug-in hybrid segmen A manakala HANARE adalah bilik bergerak dengan pemanduan autonomi.

Walaupun sebuah kereta PHEV yang canggih, WAKU SPO hadir dalam reka bentuk retro. Kami tidak pasti idea di sebalik model ini adakah ia isyarat Suzuki mahu mengeluarkan model PHEV dengan reka bentuk klasik?

Menurut Suzuki, dengan kereta ini seisi keluarga dapat berkongsi kegembiraan merentasi generasi sama ada untuk kegunaan harian dan juga hiburan.

Terdapat suis WAKU WAKU (keseronokan) yang boleh menukar bentuk badan kereta dan kandungan yang ditunjukkan pada papan pemuka.

Ideanya ialah kereta kecil masa depan yang boleh dikongsi dan ditukar bagi memenuhi keseronokan setiap orang.

HANARE pula bermaksud cottage yang dipisahkan. Suzuki memaklumkan ianya adalah sebuah bilik bergerak dengan teknologi autonomi yang membolehkan semua orang menggunakan masa perjalanan dan keselesaan ruang secara berkesan.

Jika WAKU SPO adalah kereta segmen A, telahan kami untuk HANARE pula ianya adalah van camper. 

Apa pun, dua model konsep ini memang menarik dan projek pengeluar Jepun sememangnya unik, comel dan luar biasa.

BACA: SUZUKI X-90 – SUV ERA 90AN YANG FUNKY

BACA: INI SEBAB KENAPA TOYOTA MAHU JALIN KOLABORASI DENGAN SUZUKI

BACA: #IKLANPILIHAN: SUZUKI SWIFT SPORT TERBARU!

Google ads
Back to top button