Buletin

TAK TAU NAK PERGI MANA? INI 5 STAYCATION MENARIK DI SELANGOR

Setelah beberapa bulan duduk di rumah, akhirnya Selangor kini berada dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara. Perubahan fasa tersebut membolehkan kita merentas daerah tanpa sebarang masalah. 

Sementara menunggu kebenaran rentas negeri dibuka, apa kata kita lihat 5 lokasi menarik untuk anda pergi melancong atau staycation pada hujung minggu atau bila-bila sahaja yang anda ingini. 

1) Carpe Diem, Serendah

Carpe Diem terletak di Pekan Serendah merupakan sebuah penginapan yang menampilkan konsep gaya hidup kampung. Carpe Diem adalah perkataan Latin yang bermaksud “merebut hari”. Lokasi ini membawa anda melangkah ke pesona percutian ala kampung, sesuai untuk mereka yang mencari tempat untuk menjalankan sesi latihan pasukan. 

Carpe Diem dikelilingi oleh tanaman menghijau yang subur, menjadikannya tempat yang sesuai untuk mencari ketenangan dan bersantai.

2) Sri Damai Resort, Kalumpang

Sri Damai Resort menawarkan penginapan berkonsepkan alam sekitar, dilengkapi  kolam renang dari air sungai untuk kanak-kanak, selain kolam memancing bagi mereka yang suka menangkap spesies langka seperti ikan kelah dan baung. 

Bukan itu sahaja, pelbagai aktiviti riadah yang menyeronokkan ada ditawarkan di sini seperti berbasikal air dan memandu kenderaan ATV. Terdapat juga ladang rusa, kambing, serta buah-buahan tempatan yang boleh anda kunjungi.

3) Resort Taman Eko Rimba Komanwel, Rawang

Resort Taman Eko Rimba Komanwel terletak di Hutan Simpan Bukit Lagong di jalan menuju ke Pekan Rawang. Sudah namanya taman rimba, ia memang pilihan tepat untuk anda menikmati keindahan alam semulajadi dan menghirup udara segar.

Apa yang lebih menarik, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti berkayak, jungle trekking, mountain bike trails dan banyak lagi, sambil merakam detik- detik kegembiraan bersama orang bersayang. Ini ialah lokasi yang tepat untuk menghabiskan masa hujung minggu anda dalam keindahan alam yang menghijau.

4) Rumah Hutan Bonda, Batang Kali

Hanya mengambil masa lebih kurang satu jam perjalanan dari Bandar Petaling Jaya, anda boleh mengunjungi salah satu tarikan pelancongan di Daerah Hulu Selangor, Rumah Hutan Bonda. Ia menampilkan konsep rumah Melayu asli yang pasti akan membuat anda terpegun melihatnya.

Tempat penginapan ini turut dikelilingi keindahan hutan dan alam semulajadi. Rumah Hutan Bonda juga mempunyai kawasan yang luas dan sesuai untuk beriadah bersama keluarga dan rakan-rakan.

5) PulaiThree, Kuala Kubu Bharu

PulaiThree merupakan lokasi percutian yang terletak di Pekan Kuala Kubu Bharu, di tengah kawasan hutan hujan dan kawasan bukit milik peribadi. Konsepnya direka dengan ruang terbuka menghadap alam sekitar namun masih menerapkan unsur kelestarian.

Vila yang dikelilingi keindahan alam dan suasana yang amat menenangkan ini menawarkan dua bilik tidur dengan pemandangan indah seperti gunung hijau zamrud di luar bandar. Selain itu, tempat penginapan ini yang dilengkapi kolam renang dan dapur lengkap dengan set barbeku sememangnya akan memberikan pengalaman terbaik.

Tentunya, tempat penginapan yang tersenarai di atas bakal mengubati kerinduan anda kepada keindahan alam semulajadi, namun tidak mengetepikan faktor keselesaan. Tidak dapat dinafikan lagi, Selangor sememangnya mempunyai banyak tempat penginapan yang menarik.

Tempah masuk sahaja ke tempat-tempat yang telah disenaraikan di atas jika berpeluang satu hari nanti! Happy happy juga, jangan lupa amalkan SOP. Sama-samalah kita putuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Google ads
Back to top button