
TCIE SERAH LAPAN UNIT TRAK TUGAS BERAT UD QUESTER KEPADA SUNMAX
UD Trucks dan rakan pengedar tunggalnya, Tan Chong Industrial Equipment Sdn Bhd (TCIE), telah menyerahkan lapan unit trak tugas berat UD Quester kepada Sunmax Petroleum Sdn Bhd (Sunmax) dalam satu majlis di ibu pejabat syarikat itu di Lukut, Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Lapan unit trak baharu ini merangkumi empat unit model Quester CWE serta dua unit masing-masing bagi model Quester GWE dan GKE.
Trak-trak ini akan digunakan bagi pengangkutan diesel dan bahan api di seluruh Semenanjung Malaysia.

Model Quester CWE dan GWE hadir dengan konfigurasi gandar 6×4 dan kuasa antara 330 hingga 440hp, manakala Quester GKE menggunakan konfigurasi 4×2 dengan 390hp.
Kesemua trak ini dikuasakan oleh enjin 11 liter GH11E yang menawarkan tork tinggi dan kecekapan bahan api menerusi operasi kelajuan enjin rendah.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kotak gear 9 atau 12 kelajuan, serta sistem brek udara penuh dan brek enjin tambahan.
Trak-trak Quester milik Sunmax juga dilengkapi dengan UD Connected Services, satu sistem pengurusan armada berteknologi tinggi yang berkomunikasi tanpa wayar bagi membantu syarikat mengoptimumkan operasi mereka.

Menurut Pengarah Urusan Hab Malaysia, UD Trucks, Steve Hedouin, pemilihan trak tugas berat Quester oleh Sunmax membuktikan keyakinan syarikat tersebut terhadap jenama UD Trucks.
“Rangkaian Quester dibangunkan untuk memenuhi keperluan logistik moden yang semakin kompleks. Trak ini terkenal dengan ketahanan, kecekapan bahan api, serta kebolehpercayaan dalam operasi harian,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa pelaburan Sunmax dalam Quester akan membantu meningkatkan produktiviti serta kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.
“Kami yakin Quester akan memberikan pulangan terbaik kepada Sunmax, seperti mana ia telah membuktikan keupayaannya dalam menyokong perniagaan pelanggan kami di seluruh dunia,” tambahnya.









