
TEKNOLOGI GTL SHELL
Kenderaan pada hari ini memerlukan minyak enjin yang memenuhi keperluan yang semakin berubah, selain memberi lebih manfaat dari segi prestasi dan jangka hayat enjin.
Untuk mencapai matlamat ini, Shell telah mempelopori satu kaedah serba baru bermula dengan gas asli untuk menghasilkan minyak asas, komponen utama minyak enjin yang diperbuat berteraskan kepada teknologi gas kepada cecair (GTL).
Teknologi GTL dipasarkan secara global oleh Shell sebagai Shell PurePlus Technology. Digabungkan dengan Teknologi Pembersihan Aktif, Shell telah menghasilkan minyak enjin premium seperti Shell Helix Ultra.
Berbanding minyak asas yang diperbuat daripada minyak mentah, teknologi GTL menghasilkan minyak asas yang lebih jernih tanpa sebarang benda asing seperti yang didapati dalam minyak mentah.
Minyak asas GTL membantu melanjutkan jangka hayat enjin, mengurangkan kos penyelenggaraan, mengurangkan penggunaan minyak dan meningkatkan kebersihan.
“Shell Helix Ultra ialah minyak enjin Shell yang paling canggih dan menawarkan teknologi minyak enjin termaju kepada pelanggan. Rangkaian produk baharu ini memenuhi kebanyakan spesifikasi industri. Ia juga telah mendapat kelulusan daripada pengeluar kenderaan dan enjin utama di seluruh dunia,” kata Pengurus Besar Kelompok, Asia Tenggara, Shell Lubricants, Troy Chapman.
Shell kini telah menghubungkan rantaian nilai gas di Qatar kepada Rangkaian Bekalan Minyak Pelincir untuk menghasilkan minyak enjin premium daripada gas asli. Minyak asas GTL dikilang di loji Pearl GTL di Ras Laffan, Qatar, satu usaha sama di antara Qatar Petroleum dan Shell. Ia merupakan sumber produk GTL terbesar di dunia.
Minyak asas itu kemudian dihantar ke tiga kemudahan simpanan di Houston, Hamburg dan Hong Kong sebelum diedarkan ke rangkaian global 50 loji adunan pelincir Shell. Di sinilah produk akhir diadun, dibungkus dan dihantar ke pasaran.
Di Malaysia, loji Shell Middle Distillate Synthesis (Shell MDS) di Bintulu, Sarawak ialah loji GTL komersial pertama. Ia telah melaksanakan penyelidikan dalam penggunaan bahan mentah alternatif bagi pengeluaran bahan api dan bahan kimia terkhusus selama lebih 30 tahun.
Bahan api sintetik dan bahan kimia terkhusus yang dihasilkan oleh loji Shell MDS tiada tandingan dari segi ketulenan dan keparafinan. Selepas kejayaan loji di Bintulu, loji Pearl GTL berskala dunia telah dibina. Ia kini mampu menghasilkan kira-kira satu juta tan minyak asas setahun. Pengetahuan yang ditimba di Bintulu telah disepadukan dengan teliti dalam reka bentuk bagi Pearl GTL.
Untuk makluman, rangkaian Shell Helix Ultra dengan Shell PurePlus Technology telah dilancarkan di Malaysia pada bulan lalu.