Modifikasi

PERHIMPUNAN 7’S DAY DI DAIKOKU

Saya pernah cerita pasal tempat ini, Daikoku Futo. Ia lebih dikenali sebagai kawasan rehat Daikoku yang terletak di penjuru Teluk Yokohama yang merupakan kawasan rehat paling popular dalam dunia kereta.

7-Days-Daikoku-mekanika (2)

Kalau di Malaysia, kira macam Hentian Awan Besar lebuh raya KESAS agaknya. Tetapi Daikoku Futo lebih daripada itu. Sebabnya, anda boleh tengok kereta best-best berhenti rehat, lepak sesama ahli kelab pada hujung minggu serta perjumpaan rasmi untuk acara tahunan Hachiroku, supercar, RX-7 dan macam-macam lagi.

Kenapa tempat ini best? Pertama, nak cari kawasan lapang yang luas dan percuma di Jepun adalah perkara yang mustahil kecuali pergi kem askar di Pulau Okinawa.

7-Days-Daikoku-mekanika (3)

Jadi, sejak 10 tahun lalu, banyak kelab kereta mengambil keputusan untuk melepak di sini pada hujung minggu bersama kawan-kawan setelah penat bekerja.

Posisinya sebagai hentian rehat di antara lebuh raya terpenting Jepun iaitu Wangan dan kedudukannya berhampiran Teluk Yokohama adalah sangat strategik untuk orang datang dari segenap penjuru.

7-Days-Daikoku-mekanika (8)

Tempatnya pun luas. Ada ruang parkir kereta, lori, bas, kedai dan ada semua benda. Anda bayangkan R&R Tapah atau Seremban, tetapi jauh lagi menarik. Menurut seorang kawan yang pernah ke sana tahun bila entah, tempat rehat itu dah jadi macam kompleks beli-belah.

Baru-baru ini, satu lagi acara penting diadakan di sana. Diberi nama 7’s Day, ia bagaimanapun bukanlah satu perhimpunan pekerja Seven Eleven. Sebaliknya satu perhimpunan tahunan Mazda RX-7 yang sangat masyur itu.

7-Days-Daikoku-mekanika (4)

Mereka memang akan pilih bulan Julai sempena nama model tersebut. Sama macam Hashiroku yang pilih tarikh 8 Jun (8hb 6). Menariknya tentang perhimpunan ini, tak ada protokol, pendaftaran atau acara rasmi. Cuma datang, pandu RX-7, parkir, beli kopi, jumpa kawan-kawan, tunjuk enjin, tunjuk sport rim dan borak-borak sampai pagi tanpa hala tuju.

Perjumpaan ini juga unik kerana disertai bukan sahaja oleh kelab, malah tuner kereta terkenal seperti RE Amemiya. Satu perkara menarik tentang orang-orang Jepun ialah tak kira kecik besar tua muda laki pompuan semuanya suka kereta. Tengok di Auto Salon cukuplah. Mereka yang datang kadang-kadang saya tak faham jenis makcik-makcik dan brader-brader yang bawa anak kecil.

7-Days-Daikoku-mekanika (5)

Walaupun menjadi lokasi strategik untuk mat-mat kereta lepak, mereka tidak mengganggu pengguna lebuh raya yang lain. Tak macam di Malaysia. Bila buat perjumpaan, konvoi sampai tiga laluan di lebuh raya dia sapu. Bila parking pula melintang, menegak, berlapis sampai ke tempat lori. Pada hal tak ada permit pun. Apabila ditegur, marah tak tentu pasal. Apa punya bingai!

Tidak seperti lokasi Jepun lain yang senang dan terhubung dengan kemudahan awam, Daikoku Futo agak terpencil. Sebab tu jugalah saya tak pernah sampai ke sana walaupun dah berbelas kali pergi ke Jepun.

7-Days-Daikoku-mekanika (9)

Saya dah lama tahu pasal tempat ini. Bila kawan yang pernah pergi ke sana dan cerita sampai tersembur air liur, saya pun jadi teruja. Harap-harap, satu hari nanti ada kesempatan untuk sampai ke Daikoku Futo. Amin…

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button