Pandu Uji

HONDA ACCORD PELENGKAP AIDILFITRI

Cuti Hari Hari Raya Aidilfitri sudah berakhir. Kembali kepada realiti. Walaupun masih ramai di antara kita yang masih dalam mood Raya, kerja yang menimbun di pejabat sudah sedia menunggu.   SONY DSC

Untuk makluman, ini merupakan tahun pertama saya boleh balik beraya di kampung tanpa perlu mengisi borang cuti dan bertungkus-lumus menyiapkan stok artikel untuk keluaran minggu akan datang. Bahagia sungguh rasanya…

Sejak berhenti daripada akhbar Kosmo! pada November tahun lalu dan mengendalikan laman web ini secara sepenuh masa, saya akui bahawa waktu bekerja adalah lebih fleksibel. Tetapi, tidak bermakna saya ada banyak masa untuk dibazirkan. Malah, kadang-kala kesibukannya lebih daripada yang pernah saya bayangkan.

SONY DSC

Aidilfitri kali ini, saya memandu sedan eksekutif Honda Accord. Walaupun hanya memandu varian yang paling asas, secara keseluruhannya saya masih berpuas hati dengan pakej yang ada padanya. Sesuailah dengan harganya, sekitar RM140,000 seunit.

Dah nama pun Hari Raya, barang-barang yang hendak dibawa pulang ke kampung memang banyak. Daripada pakaian, kuih-muih hinggalah hamper Raya. Itu belum lagi dicampur dengan barangan mentah yang dipesan oleh kakak untuk persiapan hari lebaran nanti. Biarpun begitu, ruang kargo Accord yang luas boleh menempatkan semua barang tersebut tanpa sebarang masalah.

SONY DSC

Seperti yang dijangka, perjalanan pulang pada petang Sabtu disambut dengan deretan kenderaan seawal di Gombak lagi. Lebih memburukkan keadaan, berlaku pula kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), membuatkan perjalanan yang biasanya memakan masa selama tiga jam setengah berlarutan menjadi lebih enam jam.

Nasib baik Accord yang dipacu oleh enjin bersesaran 2.0 liter empat silinder 16 injap SOHC VTEC ini tidak mengecewakan. Dipadankan bersama kotak gear automatik lima kelajuan, ia menawarkan pemanduan yang lancar, bertenaga dan menjimatkan.

SONY DSC

Secara peribadinya, Hari Raya Aidilfitri memang sambutan yang saya tunggu setiap tahun. Ia bukan sekadar menjadi waktu terbaik untuk berkumpul dan bertemu sanak-saudara, malah inilah masanya untuk menikmati segala juadah yang menyelerakan. Diet? Memang ke laut jawapannya.

Fiesta makanan pada hari pertama Aidilfitri dimulakan dengan hidangan rendang daging, sate ayam, lemang dan ketupat. Selepas Zohor, destinasi pertama kami ialah ke rumah Mak Teh yang terletak di Pekan, Pahang.

24072010(002)

Di sana, hidangan lebih istimewa sedang menanti, apa lagi kalau bukan pais ikan patin tempoyak dan ikan singgang. Kalau nak tau, pais ikan patin tempoyak sedikit berbeza dengan masakan ikan patin tempoyak yang biasa kita makan tu.

Masakan yang cukup popular di Temerloh itu mempunyai kuah yang lebih pekat. Cara masakannya juga berbeza. Ikan patin yang telah diadun dengan tempoyak dan ramuan lain itu dimasak menggunakan aluminium foil. Itu berdasarkan pemerhatian ringkas saya. Nak suruh saya masak sendiri, maaf, memang tak ada bakat.

SONY DSC

Selepas rumah Mak Teh, kami menziarahi rumah bapa dan ibu saudara yang lain seperti Cho dan adik bongsu abah, Makcik Lah. Hidangan pun semakin bervariasi, ada nasi beriani dan macam-macam lagi.

Kami bergerak pulang ke Kuantan agak lewat. Perut kenyang dan penat beraya, semua penumpang tidak mengambil masa yang lama untuk melelapkan mata sebaik sahaja masuk ke dalam kabin Accord.

SONY DSC

Keselesaan sedan eksekutif ini jelas terasa. Kalau tidak, takkanlah perjalanan saya pada malam itu ditemani oleh dengkuran hingga ke depan pintu rumah. Stress…

Apa pun, Accord menjadi pelengkap sambutan Aidilfitri saya pada tahun ini. Sedan eksekutif itu memiliki pakej yang bagus. Gabungan penampilan luaran, praktikaliti ruang kabin, penjimatan bahan api, prestasi dan keselesaan membuatkan Accord menjadi pilihan utama bagi mereka yang ingin memiliki sebuah sedan segmen D.

SONY DSC

Jadi, tidak hairanlah jika angka jualannya agak memberangsangkan. Menurut seorang rakan di Honda Malaysia, dianggarkan sebanyak 800 hingga 1,000 unit Accord berjaya dijual setiap bulan.  Boleh tahan juga.
[hr]GALERI 

SONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSC

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button