Buletin

TERBELI KERETA CURI, SUAMI ISTERI SAMAN BANK DAN PLATFORM JUAL BELI DALAM TALIAN

Sepasang suami isteri menfailkan saman cuai ke atas satu platform jual beli terpakai dalam talian dan institusi kewangan melibatkan pembelian sebuah kereta yang didakwa dicuri. 

Berikutan pembelian itu, jurutera Mohd Zulikram Shamsidi dan isterinya, Nor Saidatul Wanida Mohd Hazani terpaksa berdepan pelbagai kepayahan dan kerugian kewangan. Saidatul terlibat sama kerana dia menjadi penjamin kepada suaminya. 

Dalam saman yang difailkan kepada mahkamah sesyen dua bulan lalu, mereka menamakan Carsome Sdn. Bhd. dan Maybank Islamic Berhad sebagai defendan. Mereka menuntut ganti rugi sebanyak RM100,000 daripada Carsome. 

Mereka juga menuntut perjanjian jual beli dengan Maybank Islamic dibatalkan. Selain mahu yuran tempahan, deposit dan pembayaran selama dua bulan dipulangkan. 

Dalam kenyataan tuntutan yang difailkan oleh Messrs Sugu K & Partners, Zulikram memberitahu dia melihat kereta itu diiklankan di laman web Carsome dan membelinya pada harga RM103,697.11 pada November tahun lalu. 

Pada 12 Februari, dia menerima panggilan daripada polis yang memaklumkan bahawa kereta tersebut mungkin kereta curi. Ia kemudian disita bagi tujuan ujian oleh Jabatan Kimia. Dua hari kemudian, Zulikram menerima sepucuk surat daripada syarikat insurans yang menyatakan pemilik terdahulu telah menfailkan tututan total loss pada tahun 2018. 

Zulikram mendakwa Carsome cuai dalam memastikan kereta itu bukan kereta curi sebelum diiklankan. Carsome dalam pembelaannya menegaskan pihaknya bergantung kepada laporan Puspakom yang menyatakan chasis kereta itu tidak diusik dan semua berada dalam keadaan balik sebelum ia dijual kepada plaintif. 

Maybank Islamic pula menegaskan bahawa ia tidak tahu chasis kereta berkenaan telah diubah dan tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti haram. Memandangkan ia merupakan kereta terpakai, maka jaminan di bawah Seksyen 7(1) Akta Jual Beli tidak terpakai ke atasnya. – Free Malaysia Today 

Google ads
Back to top button