Artikel Pilihan

TOYOTA COROLLA CROSS HYBRID, BAKAL DILANCARKAN MINGGU DEPAN?

Toyota Corolla Cross varian hibrid adalah “open secret” bagi Toyota kerana tidak lama lagi kita akan menyaksikan kemunculan semula teknologi hibrid yang akan dijual oleh Toyota Malaysia. Awal 2013 kita menyaksikan pelbagai jenis model hibrid yang dilancarkan oleh Toyota dalam usaha mengurangkan impak kepada alam sekitar terutama dalam aspek pelepasan gas karbon dioksida.

Dengan sambutan pengguna Malaysia yang suam suam kuku, polisi industri yang lemah dan tidak menguntungkan, dan juga persaingan menyaksikan Toyota banyak beralih arah ke negara jiran seperti Thailand dengan pengenalan model hibrid yang lebih menyeluruh. Model popular seperti Corolla dan Altis turut ditawarkan di sana dengan harga yang sangat kompetitif.

Sebagai contoh, Corolla Cross 1.8 varian petrol dengan Corolla Cross Hibrid varian Smart hanya berbeza sedikit sahaja dari segi harga harga jualan. Dari aspek trenkuasa, Corolla Cross 1.8 Sport yang dipasarkan di Thailand memiliki kod enjin yang berbeza dengan pasaran Malaysia (2ZR-FE) iaitu 2ZR-FBE (flexfuel) yang menghasilkan 141 kuasa kuda dan 178Nm tork

Bagi varian hibrid, kita boleh jangka yang enjin 2ZR-FXE yang sama dengan pasaran Thailand akan digunakan di Malaysia. Berbeza dengan enjin 1800cc 2ZR-FE yang biasa ialah nisbah mampatan enjin 2ZR-FXE yang lebih tinggi iait pada 13:1. Dengan melambatkan masa penutupan injap kemasukan sewaktu proses mampatan, enjin ini boleh beroperasi pada kitaran enjin Atkinson

Jadi jika dibandingkan dengan enjin 2ZR-FE yang menggunakan kitaran enjin Otto, enjin 2ZR-FXE ini sebenarnya lebih cekap tenaga dan lebih efisyen secara perbandingan therma. Tapi bagi mendapatkan kecekapan enjin yang tinggi, enjin 2ZR-FXE ini terpaksa berkorban apabila hanya mampu menghasilkan 98 kuasa kuda dan 142Nm tork sahaja. Enjin Myvi 1.5 pun lagi kuat.

Bagi enjin hibrid sebenarnya ia bukan masalah besar kerana Corolla Cross Hibrid akan ditemani satu motor elektrik magnet kekal yang boleh beroperasi sehingga 600 Volt. Motor elektrik ini akan menjana sehingga 71 kuasa kuda dan 163Nm tork yang boleh dihasilkan dari 0 RPM. Kuasa elektrik ini akan dibekalkan dari bateri sistem Nickel Metal Hydride.

Secara keseluruhan, gabungan enjin dan motor elektrik ini pula akan menjana sehingga 120 kuasa kuda, bukannya 169 kuasa kuda. Ini kerana enjin beroperasi dalam RPM yang terhad tak sama dengan motor elektrik. Semua kuasa akan dihantar menerusi tayar depan melalui sistem transmisi E-CVT. Dalam aspek cesi, varian hibrid adalah hampir sama dengan varian petrol.

Ini boleh dibuktikan dengan penggunaan sistem gantungan McPherson pada bahagian depan, torsion beam dengan bar penstabil pada bahagian belakang, brek cakera depan belakang, jarak antara roda 2640mm, panjang 4460mm, lebar 1825mm dan tinggi 1620mm. Jika anda perasan, Corolla Cross berbeza dengan Corolla sedan dari segi jarak antara roda yang lebih pendek (Corolla 2700mm) dan menggunakan sistem gantungan Double Wishbone

Mungkin anda akan kecewa kerana Corolla Cross menggunakan sistem Torsion Beam, tapi rekaan yang digunakan oleh Toyota adalah selari dengan cesi Toyota New Global Architecture dengan pelapik getah yang lebih besar yang memberikan keseimbangan antara keselesaan dan juga pengendalian di atas permukaan jalan yang tidak rata.

Bergantung pada varian yang akan diperkenalkan nanti, Corolla Cross juga bakal dilengkapkan dengan teknologi Toyota Safety Sense yang merangkumi pakej keselamatan Pre-Collision System, Lane Departure Alert dengan bantuan kuasa, Lane Tracing System yang membantu kereta untuk kekal di tengah lorong pemanduan, Dynamic Radar Cruise Control, dan juga Automatic High Beam System.

Sekiranya Corolla Cross varian petrol dan hibrid dipasang di fasiliti termaju Toyota Bukit Raja, kita akan menyaksikan harga jualan yang lebih kompetitif. Kami menjangka harga ini akan menjadi lebih murah sekitar 5-10% bergantung pada spedifikasi dan peralatan yang akan dipasang nanti. Besar juga harapan pada pihak MITI agar memberikan banyak polisi yang mesra pada teknologi hijau.

Bagi pasaran Thailand, Corolla Cross ditawarkan dengan 3 varian iaitu Hybrid Smart, Hybrid Premium dan Hybrid Premium Safety dengan harga masing-masing ialah RM 128 ribu, RM 137 ribu dan varian termahal ditawarkan pada harga RM 150 ribu.

Google ads
Back to top button