Buletin

IBU TUNGGAL CURI HONDA BEAT SEBAB NAK BAYAR KOS PERUBATAN BAYI

Seorang wanita mengendong bayi sambil menunggang motosikal jenis Honda Beat berwarna merah yang dicurinya menjadi viral di media sosial.

Wanita berusia 40 tahun itu dipercayai mencuri motosikal di parkir rumah dekat kampung Sumbertanggul, Mojasari, Jawa Timur, Indonesia bagi mendapatkan wang untuk membayar kos perubatan anaknya yang sakit.

Menurut Tribunnews, gelagat wanita tersebut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di kawasan berkenaan.

Rakaman CCTV itu membantu polis Mojosari mengenal pasti identiti suspek yang berstatus ibu tunggal dengan seorang anak dan menetap di Kampung Mojotamping, Bangsal, dekat daerah Mojokerto.

Ketua Polis Mojosari, Heru Purwandi memberitahu, pihaknya menangkap suspek bersama anaknya, kira-kira 11 malam 17 April lalu, di sebuah rumah dekat Kampung Sumbertanggul, daerah Mojosari

“Hasil soal siasat, suspek mengakui melarikan motosikal model Honda Beat berwarna merah milik Aulia Nur Pratiwi, seorang penduduk di situ pada pagi Selasa lalu.

“Alasannya mencuri adalah kerana kesempitan wang untuk membiayai perubatan anaknya berusia satu tahun yang demam.

“Suspek yang bekerja sebagai tukang cuci juga merancang menggunakan wang diperoleh untuk membeli susu dan ubat untuk anaknya,” katanya.

Menurut Heru, anggota yang ditugaskan membuat tangkapan membantu membelikan susu formula untuk anak suspek.

“Anggota saya juga sempat membawa anak suspek yang demam ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Dia menjelaskan, mangsa bagaimanapun menarik semula laporan polis yang dibuat selepas mengetahui keadaan suspek yang terpaksa melakukannya.

Katanya, suspek turut mengembalikan semula motosikal dicuri dengan meninggalkannya di sekitar lokasi kejadian yang berhampiran balai polis Mojosari. – agensi

Google ads
Back to top button