Buletin

TESLA MODEL Y L KINI LEBIH PANTAS, RANGKAIAN PENGECASAN TERUS DIPERLUAS DI MALAYSIA

Tesla Malaysia memperkenalkan peningkatan prestasi bagi Model Y L dengan keupayaan pecutan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.5 saat, sekali gus menjadikan SUV elektrik enam tempat duduk itu lebih responsif untuk pemanduan harian mahupun perjalanan jarak jauh.

Direka sebagai kenderaan keluarga moden, Model Y L menggabungkan aspek keselamatan, kecekapan tenaga dan teknologi terkini bagi menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih selesa kepada pemandu serta penumpang.

Model ini turut menawarkan jarak pemanduan sehingga 681 kilometer mengikut standard WLTP.

Tesla memaklumkan bahawa semua model keluarannya telah menerima penarafan keselamatan tertinggi daripada pelbagai badan penilaian antarabangsa termasuk NHTSA dan IIHS di Amerika Syarikat, Euro NCAP di Eropah, ANCAP di Australia dan New Zealand serta C-IASI di China.

Di Malaysia, Model Y L kini ditawarkan pada harga bermula RM263,000 dengan pakej peningkatan pecutan diberikan tanpa caj tambahan untuk tempoh terhad.

Pembeli juga boleh memiliki model tersebut melalui pelan pembiayaan dengan ansuran bulanan bermula RM1,988.

Dalam usaha menyokong pertumbuhan pemilikan kenderaan elektrik (EV), Tesla terus memperluaskan infrastruktur pengecasannya di seluruh negara.

Setakat ini, syarikat itu telah membangunkan 21 lokasi Supercharger yang menyediakan 92 unit pengecas pantas serta 18 lokasi Destination Charging dengan 78 unit Wall Connector.

Menjelang penghujung 2026, enam lagi lokasi pengecasan baharu dijadualkan beroperasi di Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Seremban dan Pulau Pinang.

Menurut Tesla, lebih 13,000 isi rumah di Malaysia kini menggunakan penyelesaian pengecasan rumah syarikat itu, membolehkan pemilik EV menikmati kemudahan pengecasan yang lebih mudah selain menyokong perjalanan rentas negeri tanpa kebimbangan.

Rangkaian pengecasan yang semakin meluas itu turut membolehkan perjalanan merentasi sempadan dari Singapura melalui Malaysia hingga ke Thailand dengan akses kepada kemudahan pengecasan berkelajuan tinggi di laluan utama.

Selain itu, Tesla turut menyediakan sokongan perjalanan rentas negara menerusi perlindungan waranti, akses perkhidmatan selepas jualan dan sambungan digital yang berterusan bagi memberikan pengalaman pemilikan yang lebih lancar.

Bagi tempoh promosi semasa, Tesla menawarkan beberapa insentif pembelian untuk model terpilih. Model 3 hadir dengan kadar faedah tetap bermula 0.58 peratus atau rebat tukar beli sehingga RM10,000, manakala Model Y ditawarkan dengan kadar faedah tetap bermula 0.88 peratus atau rebat tukar beli RM15,000.

Menerusi program Refer & Earn pula, pelanggan baharu yang membeli Tesla menggunakan pautan rujukan akan menerima diskaun RM1,000.

Manakala, pemilik Tesla yang membuat rujukan layak menerima kredit Tesla bernilai RM500 – boleh digunakan untuk pelbagai ganjaran termasuk kredit pengecasan Supercharger dan naik taraf perisian.

Orang ramai yang berminat boleh mengunjungi pusat pengalaman Tesla di seluruh negara untuk melihat dan mencuba sendiri Model 3, Model Y serta Model Y L.

Google ads
Back to top button