BuletinMotosikal

TIADA LESEN? BELI VESPA DAN METRO DRIVING SEDIAKAN PAKEJ LESEN PERCUMA

Naza Primera Sdn. Bhd., pemegang hak jenama Vespa di Malaysia hari ini meneruskan misi program terbaru “Vespa, Why Drive? Let’s Ride…”. Ia merupakan kempen yang telah dijalankan sejak awal Mac lalu. Pada hari ini, mereka mengorak langkah dengan mengadakan kerjasama dengan pusat latihan memandu Metro Driving Academy bagi membolehkan pembeli motosikal mendapatkan lesen motosikal kelas B2 secara percuma.

Majlis menandatangai kerjasama ini dimeterai di pusat latihan Metro Driving Academy yang terletak di Pulau Meranti, Puchong Selangor. Ia disempurnakan oleh Ketua Operasi Eksekutif Naza Primera, Farouk Faisal dan Pengurus Eksekutif Metro Driving Academy Ashraf Ali Abdul Kadir

Kempen itu bermula pada hari ini dan berakhir pada 30 Jun nanti, ia dijalankan di seluruh negara. Metro Driving Academy juga bekerjasama dengan beberapa pusat latihan luar Lembah Kelang bagi membolehkan pembeli luar KL mendapat faedah yang sama.

“Sebenarnya masih ramai pemilik motosikal yang tak mempunyai lesen memandu, idea ini telah kami rancang agak lama. Terima kasih kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Metro Driving Academy kerana usaha yang baik ini. Dengan pengalaman luas Metro Driving Academy yang telah beroperasi sejak 1998, kami percaya ini merupakan satu kerjasama baik untuk memastikan setiap penunggang memiliki lesen memandu yang sah,” ujar Farouk.

Pakej lesen ini diseliakan sepenuhnya oleh Metro Driving Academy. Bermula dengan persediaan kelas teori selama enam jam, kelas praktikal untuk sembilan jam dan ujian lapangan. Pendek kata, ia adalah pakej lengkap yang tidak memerlukan pemilik Vespa mengeluarkan sebarang belanja tambahan.

Bagi yang sudah mempunyai lesen memandu, kempen “Vespa, Why Drive? Let’s Ride…” menawarkan pertukaran pakej lesen kepada individu lain. Maksudnya, pakej lesen ini boleh diserahkan kepada pihak ketiga atau dengan pilihan seterusnya, pembeli Vespa boleh memilih pakej baucar petrol bernilai RM300.

Model yang terlibat dalam kempen ini ialah Vespa Primavera ABS, Sprint ABS, GTS 150 dan Vespa LXV (untuk warna perak sahaja).

BACA: VESPA AZMISCOOTERS UNTUK DIJUAL

BACA: VESPA SEBAGAI IKON GAYAHIDUP

Google ads
Back to top button