Buletin

TIDAK PUAS HATI DENGAN UNDANG-UNDANG, TEMPAHAN TRACK DAY DI UK SEMAKIN MENINGKAT

Tahukah anda walaupun di Eropah banyak kereta laju tetapi pada masa yang sama undang-undang juga ketat. Bukan setakat undang-undang, denda pun boleh tahan tinggi.

Sebagai contoh dan antara perkara yang menarik ialah kompaun mengikut kadar gaji. Katalah anda memandu Nissan GT-R dan memecut pada kelajuan 101 batu sejam (162 km/j), denda yang dikenakan bermula dari 150 peratus daripada gaji mingguan.

Maknanya kalau gaji RM 1,000 seminggu, anda boleh didenda hingga RM 1,500 jika ditangkap memandu laju. telan air liur. Kadar denda tersebut sebenarnya dinaikkan pada April 2017 di mana sebelum ini kadar denda ialah 100 peratus gaji mingguan.

Pakar industri juga memaklumkan bahawa jumlah denda dan penalti poin untuk kesalahan tunggal juga meningkat sebanyak lima kali ganda dalam tempoh lima tahun. Ini bermakna, hukuman yang dikenakan semakin hebat walaupun untuk kesalahan kecil.

Satu lagi fakta ialah dari tahun 2011 hingga 2015 kesalahan memandu melebihi had laju di UK dan Wales meningkat dengan mendadak dari 851,000 kepada 958,000 manakala individu yang menghadiri kursus kesedaran kelajuan di UK pula meningkat dari 772,000 pada 2011 kepada 1,206,000 pada 2016.

Jadi sekarang macam mana? Apabila makin ramai yang kena denda, di sebelah pihak lain pula mendapat keuntungan. Bukan pihak kerajaan sahaja malah pemandu yang menempah trek lumba juga semakin bertambah.

Menurut laman web www.trackdays.co.uk, tempahan kali pertama hari litar telah meningkat dengan mendadak kepada 42 peratus dan 22 peratus dalam bulan terdekat selepas undang-undang baru yang diperkenalkan pada April 2017.

Menurut Pengurus Operasi www.trackdays.co.uk, Dan Jones, “Pengenalan denda memandu laju yang lebih keras telah memberi kesan kepada pertambahan tempahan hari litar.

“Apa yang kami perhatikan ialah semakin ramai pemandu UK menggunakan kereta mereka sendiri di litar seperti Silverstone dan Brands Hatch dan menikmatinya di dalam keadaan yang lebih selamat dan jauh dari pemerhatian penguatkuasa undang-undang.”

Selain daripada penalti yang keras, UK juga adalah negara yang berada di tempat kesepuluh negara paling sesak di mana pemandu menghabiskan purata masa lebih dari 30 jam setahun.  

Jadi tidak hairanlah fenomena semakin ramai yang menghabiskan masa di litar bertambah. Laman web www.trackdays.co.uk turut menyenaraikan beberapa lagi litar untuk pemanduan awam iaitu Rockingham, Donington Park, Snetterton, Mallory Park dan Castle Combe.

Senarai 20 kereta terbaik untuk hari litar. Klik untuk besarkan.
Google ads
Back to top button