
PROTON e.MAS PECAH REKOD, JUALAN BULAN OGOS TEMBUS 6,000 UNIT
Jenama kenderaan elektrik (EV) nasional, Proton e.MAS, terus mencipta momentum apabila mencatatkan jualan bulanan tertinggi dalam sejarahnya pada Ogos 2026 dengan sebanyak 6,047 unit kenderaan berjaya dijual.
Pencapaian tersebut hadir hanya 20 bulan selepas pelancaran model sulungnya, Proton e.MAS 7, pada Disember 2024, sekali gus menjadikan Proton e.MAS sebagai jenama kenderaan elektrik dan elektrifikasi (xEV) terpantas di Malaysia yang berjaya melepasi angka 6,000 unit jualan dalam tempoh sebulan.
Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 5,999 unit didaftarkan di pasaran tempatan, mengukuhkan kedudukan Proton e.MAS sebagai jenama EV paling laris di negara ini. Secara purata, sebuah Proton e.MAS didaftarkan setiap tujuh minit sepanjang bulan Ogos.
Model Proton e.MAS 5 menjadi pemacu utama kejayaan tersebut apabila menyumbang 4,770 unit atau hampir 80 peratus daripada jumlah pendaftaran domestik.

Sementara itu, Proton e.MAS 7 dan Proton e.MAS 7 PHEV masing-masing merekodkan 613 unit dan 616 unit pendaftaran, menunjukkan permintaan yang konsisten bagi kedua-dua model tersebut.
Dari sudut geografi, Selangor muncul sebagai pasaran terbesar dengan menyumbang lebih separuh daripada jumlah jualan domestik. Johor dan Pulau Pinang turut mencatat prestasi memberangsangkan, dengan ketiga-tiga negeri itu menyumbang 71 peratus daripada keseluruhan jualan tempatan Proton e.MAS pada bulan berkenaan.
Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, Proton e.MAS merekodkan 27,402 pendaftaran domestik. Selain itu, sebanyak 453 unit telah dieksport ke beberapa pasaran antarabangsa termasuk Nepal, Singapura, Mauritius serta Trinidad dan Tobago, menjadikan jumlah jualan keseluruhan tahun ini setakat Ogos mencecah 27,855 unit.
Pertumbuhan jualan yang kukuh itu turut disokong oleh pengembangan rangkaian pengedaran dan perkhidmatan selepas jualan.
Ketika ini, Proton e.MAS mempunyai 60 pusat jualan, 46 pusat servis serta 10 pusat badan dan cat di seluruh negara, meningkat ketara berbanding hanya 36 pusat jualan dan 29 pusat servis pada tempoh sama tahun lalu.
Dalam usaha memperkukuh ekosistem mobiliti elektrik, PRO-NET turut memperluaskan kemudahan pengecasan dengan menyediakan 103 pengecas pantas DC di pusat pengedar terpilih.
Pada masa sama, pengguna Proton e.MAS boleh mengakses lebih 4,700 titik pengecasan awam melalui sistem peta pengecasan bersepadu dalam kenderaan dan aplikasi e.MAS.
Daripada jumlah itu, lebih 1,500 titik pengecasan terletak di lebih 600 kawasan kediaman bertingkat tinggi di seluruh negara, sekali gus memudahkan pemilik EV mendapatkan akses kepada kemudahan pengecasan harian.







