Buletin

TIADA LAGI GADIS SEKSI DI ACARA GENEVA MOTOR SHOW 2018

Pengunjung acara Geneva Motor Show 2018 yang bakal berlangsung minggu ini mungkin akan sedikit kecewa kerana tiada lagi kelibat gadis penghias di ruang-ruang kameran kenderaan yang mengambil bahagian.

Gadis-gadis seksi itu bakal digantikan dengan model lelaki dan wanita berpakaian sukan atau lebih sopan. Selain mempunyai pengetahuan mendalam tentang kereta yang dipamerkan.

Setakat ini, pengeluar kenderaan seperti SsangYong, Nissan, Lexus, Fiat, Peugeot dan Renault mengesahkan akan mengambil langkah tersebut. Pendekatan itu dibuat kerana timbul kebimbangan wujudnya dakwaan gangguan seksual yang dikatakan berlaku sejak sekian lama.

Ia nyata selari dengan pergerakan global #MeToo yang menentang masalah gangguan seksual yang bermula di Hollywood.

“Zaman sudah berubah. Lebih logik menggunakan khdmad pakar produk kerana kami menjual kereta,”  kata jurucakap Nissan di Switzerland, Sara Jenkins.

Toyota mengesahkan bahawa ia langsung tidak akan menggunakan khidmat model di Geneva Motor Show 2018. Sementara Fiat Chrysler Automobiles NV dilapor telah membatalkan kontrak beberapa model wanita kerana bimbang dikecam oleh pergerakan #MeToo.

Seorang jurucakap acara Geneva Motor Show 2018 bagaimanapun menyatakan para pengeluar  bebas untuk memilih cara untuk memperkenalkan kenderaan masing-masing.

Sebelum ini, penganjur perlumbaan F1, Liberty Media telah menghentikan khidmat gadis litar, sambil menyifatkan amalan itu sebagai janggal dengan norma dunia moden.

Google ads
Back to top button