
TINDAKAN SAKAU RUANG JALAN DEPAN RUMAH, UNDANG RASA KURANG SENANG PENDUDUK SETEMPAT
Tindakan pemilik rumah membuat ‘enterance rumah’ hingga ke jalan utama mengundang rasa tidak senang dalam kalangan penduduk setempat.
Seorang pengguna Facebook Azi Melon yang berkongsikan beberapa keping gambar menunjukkan tindakan pemilik sebuah rumah difahamkan di Seremban, membuat pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sehingga menyusahkan orang ramai ingin menggunakan jalan di kawasan tersebut.
“Dulu masuk lorong, ada dua kereta tiada masalah pun. Sekarang separuh sudah ‘disakau’. Bila ada jiran baru buat binaan macam ni, laluan jadi terganggu lagi-lagi kalau ada kereta lain ‘parking’ di lorong.
“Hari itu, ade kereta lain masuk, tiba-tiba berhenti tengah lorong, kami terpaksa lalu atas ‘entrance’ dengan kereta yang senget.
“Bahaya pada sesiapa yang tak tahu ada ‘entrance to heaven a.k.a kayangan’ ni. Haritu lori nak hantar perabot dia (pemilik rumah), ‘parking’ betul-betul depan ‘entrance’. Dah tu saya pula kena mencelah sikit. Kalau tak boleh lalu, terpaksalah buat pesta hon untuk meminta laluan,” luahnya.
Dia berkata, tindakan pemilik rumah itu juga turut menyusah syarikat konsesi pembersihan untuk melakukan aktiviti memungut sisa pepejal di kawasan tersebut. “Lori sampah hanya berhenti depan lorong, pemungut sampah bawa tong ke depan,” ujarnya.
Justeru, dia meminta agar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi Datuk Mohamad Taufek Abd. Ghani untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik rumah berkenaan. – KOSMO! Online




