Artikel Pilihan

JUAL RIM DENGAN PENDEKATAN BERBEZA. PEMBELI TIDAK LAGI DILUPAKAN, LAYANAN LEBIH ISTIMEWA

Apa pengalaman anda ketika membeli rim baharu untuk kereta kesayangan anda itu? Saya yakin, prosesnya sama sahaja iaitu pergi ke kedai, pilih rim yang berkenan, periksa saiznya betul, bayar dan pasang. 

Selepas siap, kita tidak akan berjumpa atau menerima sebarang khabar atau ucapan hari lahir daripada tauke kedai rim berkenaan walaupun harga rim yang dibeli itu berharga puluhan ribu Ringgit.

Itulah prosedur operasi standard (SOP) di hampir semua kedai tayar atau rim di Malaysia. Biasanya, tidak wujud hubungan yang rapat di antara pelanggan dan pekedai, melainkan anda ialah pelanggan tetap mereka dalam tempoh yang lama. 

Kenapa begitu? Ini kerana di Malaysia dan mungkin di kebanyakan pasaran di seluruh dunia, penjualan rim sangat bergantung kepada kedai tayar. Biasanya juga kedai tersebut menjual pelbagai jenama rim di bawah satu bumbung, maka apa jua model yang yang dibeli, layanannya sama sahaja. 

Namun, ada satu jenama rim baharu yang ingin menongkah arus dengan menjual rim secara langsung kepada pelanggan melalui cara mencipta permintaan dan mendengar pandangan daripada mereka. 

Tawar pendekatan berbeza

Dikenali sebagai Ronin, rim berjenama tempatan yang dihasilkan di Thailand itu mahu membuatkan pembelian rim lebih mudah dan personal. 

Sebagai contoh, jika ada pelanggan dari Ipoh yang sudah membuat bayaran penuh, pihak Ronin akan membayar kos penghantaran secara percuma. Kalau tidak suka dengan warna atau corak, boleh pulangkan semula dalam tempoh 24 jam selagi rim itu belum dipasang pada kereta. 

Pelanggan juga tidak perlu datang ke bilik pameran jika mereka sibuk, cukup dengan hanya melihat foto di laman sosial Ronin. 

Senang cakap, Ronin mahu lebih berhubung dengan pelanggannya. Sebab dalam segmen jual beli rim, pelanggan sentiasa dilupakan kerana pembelian hanya dilakukan sekali sahaja. Lepas beli, terus habis dan mungkin datang semula ke kedai selepas beberapa tahun untuk menukar rim pada kereta baharu pula. 

Justeru, Ronin mahu menyediakan perkhidmatan yang benar-benar berbeza. 

Berbeza dengan pelanggan yang sering dilupakan, Ronin mahu mengekalkan komunikasi menerusi beberapa aktiviti yang telahpun dirancang.

Memandangkan Ronin baru sahaja bermula dan pelanggan pun masih belum ramai, maka mereka merancang untuk melakukan aktiviti sempena Hari Raya atau program memandu ke satu-satu destinasi.

Ini antara program yang cukup digemari oleh pelanggan kerana mereka boleh berjumpa dengan rakan baharu dan bersosial. 

“Program seperti ini penting kerana jenama besar yang harga rim mereka mencecah puluhan ribu Ringgit pun tidak menawarkan pengalaman pembelian yang bagus. 

“Prosesnya bermula dengan membuat pesanan, rim sampai, pasang dan habis begitu sahaja. Kalau saya membeli rim yang begitu mahal, saya mengharapkan sedikit layanan istimewa. Sekurang-kurangnya ucapan hari lahir dan dan hubungan tidak berakhir begitu sahaja,” kata pengasas rim Ronin, Jonathan Ong. 

Patut cuba rim Ronin

Mengakui bukan mudah untuk bersaing dengan jenama rim yang besar dan sudah lama berada di pasaran, Jon memberitahu pihaknya perlu mencipta satu segmen baharu dan menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang jauh lebih baik. Bukan sekadar pengalaman bersifat touch and go serta memastikan pelanggan sentiasa diambil berat dalam apa jua situasi. 

Dengan cara ini, pihaknya boleh berhubung terus dan menyumbang kembali kepada pelanggan. Jika beli dari kedai tayar, tiada lagi servis yang akan diterima sebaik sahaja rim dipasang pada kereta. 

“Jadi, jika saya boleh beri lebih, saya akan mendapat kumpulan pelanggan yang setia. Itu lagi penting. Cipta permintaan dan pengalaman pembelian yang unik kerana rim tidak jauh berbeza walau apa pun jenamanya,” jelas Jon. 

Ronin mensasarkan untuk dapatkan sekitar 50 hingga 60 orang pelanggan dahulu dan barulah dapat mulakan sebarang program. 

Kini, cabaran lebih kepada bagaimana Ronin hendak berkongsi passion dan apa yang boleh mereka lakukan bersama pelanggan. Ronin bukan sekadar mahu menjual rim, mana tahu nanti Ronin boleh hasilkan produk lain. Jadi, mereka mahu membina satu platform yang pelanggan percaya dengan jenama ini. 

Jon ingin melakukan perkara tersebut dengan cara berbeza kerana industri ini ada terlalu banyak saingan dan mereka sudah lama bertapak di sini. Dia juga menetapkan sasaran yang realistik dengan cuba mencapai sedikit demi sedikit, antaranya mengembangkan pasukan reka bentuk yang kini baru ada dua orang. 

“Anda patut cuba rim Ronin kerana kami boleh beri lebih nilai kepada pelanggan. Kalau ada pengedar, kami akan pastikan mereka melakukan pendekatan yang sama. Saya nak buat macam jenama Apple yang beri pengalaman pemilikan, small details, hargai pelanggan yang percaya kepada Ronin dan lakukan yang terbaik untuk mereka. 

“Sebab kalau pelanggan gembira, susah untuk mereka pergi ke jenama lain kerana jurucakap terbaik sebenarnya ialah pelanggan. Seterusnya dapat menghasilkan pemasaran dari mulut ke mulut yang positif. 

“Inilah yang tiada dalam industri ini kerana jenama rim bergantung kepada kedai tayar untuk beri pengalaman pembelian, sedangkan kedai tayar lakukannya dengan cara tersendiri. Lagi pun mereka jual banyak jenama berbeza,” jelas Jon panjang lebar. 

Warna selamat

Untuk makluman, Ronin adalah rim jenis flow forming yang lebih kukuh dan ringan berbanding rim jenis tempaan. Disebabkan proses itu, harganya lebih mahal. Berat rim bagaimanapun bergantung kepada reka bentuk. Lebih banyak jejari (spoke), lebih kukuh tetapi berat sedikit, berbanding rim yang mempunyai kurang jejari.

Buat masa sekarang, rim Ronin hadir dalam tiga warna iaitu hitam (Alumite Black), kelabu (Dark Gun Metal) dan tembaga (Matte Copper). Pemilihan warna itu dibuat berdasarkan kepada kajian pasaran dan kecenderungan pengguna tempatan yang kurang berani membeli rim berwarna terang. 

Buktinya, daripada tiga dinding rim dipamerkan di bilik pameran Ronin di Glenmarie Shah Alam, cuma ada satu rim berwarna merah.

“Pelanggan di negara ini lebih suka kepada warna-warna yang selamat, mungkin dipengaruhi oleh budaya. Rakyat Malaysia tidak suka terlalu menonjol dan lebih konservatif, berbanding orang Amerika misalnya. Tetapi, secara peribadi saya memang suka rim dengan warna terang kerana ia memberi satu karekter tersendiri,” akui Jon. 

Berkenaan harga, rim Ronin memang sedikit mahal iaitu sekitar RM4,200 berbanding pesaing lain. Ini kerana rim tersebut memenuhi piawaian TUV demi menjamin kualiti yang terbaik. Piawaian ini sangat penting kerana membolehkan Ronin dijual di pasaran Eropah. 

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Thailand merupakan antara pengeluar rim terbesar di dunia selain Taiwan dan China. Kilang yang diiktiraf oleh pihak TUV amat penting kerana ia boleh menjadi pasport untuk sesuatu jenama rim dipasarkan ke pasaran yang lebih luas serti China dan negara-negara Eropah.

Kesilapan biasa pembeli rim

Ditanya mengenai apakah kesilapan yang biasa dibuat ketika beli rim aftermarket, Jon memberitahu pelanggan sering ambil mudah mengenai  offset rim mereka.

Memang kadang-kala pelanggan rasa OK untuk membiarkan rim terkeluar sedikit, tetapi selepas memandu selama seminggu, mereka akan datang balik tukar kerana tayar terkena arca roda. 

“Jadi nasihat saya, pilih rim yang anda suka dan jangan abaikan aspek praktikaliti dan bukan cantik semata-mata. Pastikan tetapan (setting) tertentu rim adalah betul. Jangan korbankan keselesaan hanya kerana mahukan saiz rim dua atau tiga inci lebih besar. 

“Kalau silap nanti, menyesal pula sebab kita bukan tukar rim setiap dua atau tiga bulan. Kena faham bahawa rim sangat personal dan individualistik. Ia juga salah satu bentuk ekspresi diri dan refleksi kepada personaliti,” kata Jon sebelum menutup bicara. 

GALERI

Google ads
Back to top button