
FORD POTONG BONUS PENGURUS KANAN DAN CEO – PRESTASI TAK MEMUASKAN!
Ford telah memotong bonus pengurus kanan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif, Jim Farley selepas prestasi kerja yang kurang memberangsangkan terutama dalam mengatasi masalah bekalan pada tahun lalu.
Menurut syarikat, pemotongan tersebut bagaimanapun masih membolehkan mereka menerima pembayaran bonus sebanyak 90 peratus, berbanding 148 peratus.
Walau bagaimanapun, pemotongan bonus tidak menjejaskan pekerja berpangkat rendah termasuk pekerja bergaji.

“Realitinya ialah kami masih mempunyai banyak kerja untuk menambah baik pelaksanaan serta mengukuhkan lagi perniagaan kami,” kata Ford dalam memo itu yang ditandatangani oleh Farley dan Ketua Pegawai Kewangan, John Lawler.
“Pemimpin kanan kami perlu memberikan impak yang besar dalam memacu keputusan perniagaan dan mesti memenuhi piawaian tinggi seperti kami perlukan.”
Saham Ford jatuh 1 peratus dalam dagangan Jumaat selepas penurunan sebanyak 7.6 peratus dalam dagangan biasa.
Kejatuhan tersebut adalah kejatuhan terbesar dalam tempoh satu hari sejak 20 September lalu, ketika syarikat itu memberi amaran tentang kos inflasi.
Oleh sebab itu, Ford akan meningkatkan usaha mengurangkan kos dengan ketara, termasuklah kemungkinan mengurangkan pekerja.





