;
Artikel Pilihan

TOLONG JANGAN CILOK DEPAN LORI

Pernahkah anda mengalami situasi di mana anda secara sengaja mencilok di depan sebuah lori yang sarat dengan muatan di hadapan lampu trafik merah? Sudah pasti perbuatan mulia anda akan dibalas dengan lampu tinggi sebagai amaran ataupun dengan bunyi hon yang panjang dari pemandu lori. Secara teori fizik, perbuatan anda mencelah masuk di hadapan lori yang sarat dengan muatan ketika ia membrek adalah satu perbuatan yang amat berisiko.

Secara fizikal, saiz lori biasanya diukur berdasarkan keupayaan membawa muatan fizikal yang boleh dikira berdasarkan bilangan tan. 1 tan bersamaan 1000kg. Maka kita boleh lihat pelbagai variasi lori yang wujud dalam kategori tan bermula dengan 1 tan, 3 tan, 5 tan, 10 tan dan seterusnya. Semakin besar nilai tan semakin tinggi keupayaan lori tersebut membawa beban. Malah sesetengah lori kontena memiliki hampir 5 gandar atau axle bagi mengagihkan beban yang dibawa oleh kerangka lori.

Lori yang besar dan juga membawa beban yang berat merupakan satu potensi besar yang boleh mengorbankan nyawa anda jika anda tersilap percaturan. Apabila lori bergerak dan membawa beban yang berat, ia akan menghasilkan momentum yang terhasil daripada beban yang bergerak pada halaju terterntu. Ia boleh dirumuskan sebagai P= Mass (jisim) x Velocity (halaju).

Jadi berdasarkan rumus ini semakin besar dan berat sesuatu beban, maka momentum yang dihasilkan oleh objek bergerak tersebut menjadi semakin besar. Momentum juga turut dipengaruhi oleh halaju objek yang bergerak itu sendiri di mana semakin laju sesuatu objek bergerak semakin tinggi nilai momentum yang dihasilkan. Lori dengan beban yang besar dan bergerak walaupun pada halaju perlahan berupaya menghasilkan momentum yang cukup besar.

Tekan Saja Brek Kuat-Kuat

Brek lori sebenarnya walaupuan menggunakan prinsip yang sama (geseran) seperti brek kereta namun ia menggunakan medium yang berbeza. Brek kereta atau kenderaan ringan menggunakan sistem brek yang menggunakan bendalir (hidraulik) bagi memindahkan daya brek kepada sistem brek yang dipasang pada roda. Kenderaan berat seperti lori pula menggunakan brek menggunakan udara (pneumatik) sebagai medium untuk memindahkan kuasa brek

Secara umumnya brek pneumatik digunakan pada kenderaan berat kerana ia sebenarnya lebih lasak dan boleh diharap berbanding dengan brek hidraulik. 2 faktor ini menjadikan brek pneumatik lebih selamat berbanding dengan brek hidraulik. Tambahan pula sistem brek ini menggunakan udara yang sentiasa boleh ditambah di dalam sistem menjadikan ia kurang berisiko sekiranya terdapat kebocoran di dalam sistem. Malah rekaan dalamannya dibuat agar ia sentiasa “failed safe” iaitu terdapat 2 saliran udara berkembar serta jika sistem gagal sepenuhnya, maka terdapat satu spring yang akan membrek tayar lori serta merta.

Namun sistem brek pneumatik ini tetap memiliki kelemahannya tersendiri iaitu fenomena brake lag atau masa untuk sistem brek bertindakblas terhadap input pemandu adalah lambat sedikit berbanding dengan brek hidraulik. Sebaik sahaja pemandu lori menekan pedal brek, udara memerlukan sedikit masa untuk melalui tiub brek sebelum sampai ke kasut brek dan brek drum. Walaupun tempoh sela masa itu kurang dari sesaat, namun dalam keadaan kecemasan ia boleh menyebabkan pemandu gagal memberikan respon yang tepat

Jadi berbalik pada persoalan dan isu yang ditimbulkan oleh penulis, diharapkan ia mampu memberikan penjelasan pada pembaca kenapa perbuatan mencilok di depan lori sewaktu ia sedang membrek merupakan perbuatan yang amat berbahaya. Video di bawah menunujukkan sebuah lori dengan halaju malar 40km/j yang sedang mengalami masalah brek dan meluru ke depan di mana terdapat sebuah kereta yang berada di belakang sebuah lori kargo.

Walaupun pada halaju 40km/j itu tidaklah terlalu laju bagi sebuah kereta, namun daya momentum yang dihasilkan oleh lori tersebut sudah cukup untuk menolak kereta yang berada di depan malah ia memaksa kereta hijau tersebut melalui under run bar  yang dipasang pada lori hadapan. Bahagian kerangka atas kereta termasuk bumbung dan kabin penumpang akan menjadi remuk sepenuhnya bermula dari bahagian depan, penumpang depan, penumpang belakang dan berakhir di ruang kargo. Apa yang tinggal hanyalah segumpal besi yang remuk.

Bayangkan jika kereta anda dilanggar seperti video ini dan menjadi inti sandwich antara 2 lori. Adakah anda rasakan tindakan mencilok di depan lori yang sedang berhenti merupakan satu tindakan bijak?

Google ads
Back to top button