;
Buletin

KETUA POLIS DIPECAT KERANA ISTERI TAMPAR PEMANDU KERETA MURAH

Seorang ketua polis di sebuah daerah di wilayah Chongqing, China telah dipecat atas dakwaan ‘melanggar disiplin’ selepas video isterinya mengamuk tular.

Pasukan polis menjalankan siasatan selama dua minggu ke video isterinya yang memandu sebuah Porsche menampar seorang pengguna jalan raya yang kemudian menamparnya semula.

Dalam satu kenyataan, polis Chongqing menyatakan siasatan lanjut ke atas aset dan akaun-akaun bank masih dijalankan. “Kami akan belajar daripada insiden ini dan mengekalkan disiplin anggota polis. Kami komited untuk memastikan rakyat terus selamat.”

Ia bagaimanapun tidak memperincikan kes atau tuduhan yang dikenakan ke atas bekas ketua polis, Tong Xiaohua dan isterinya, Li Yue.   

Dalam video tersebut, Li Yue dilihat keluar dari sebuah Porsche berwarna merah dan kasut tumit tinggi mengherdik seorang lelaki yang memandu sebuah Chery. Isteri mangsa memberitahu Beijing News bahawa Li Yue menghina suaminya kerana berpakaian lusuh dan memandu kereta pengemis.

Pada ketika itu, Li Yue sudahpun dikenakan denda sebanyak 200 yuan (RM120) kerana membuat pusingan di laluan zebra, serta 50 yuan lagi kerana memakai topi besar dan kasut tumit tinggi yang tidak selamat untuk memandu kereta. Dua mata juga ditolak daripada lesen memandunya.

Beberapa hari kemudian, dia tampil memohon maaf dan menyesal atas perbuatannya.

Biarpun begitu, netizen dilihat terus mengkritiknya, selain mencari gambar dan video Li Yue yang sering menunjuk-nunjuk kemewahannya di internet.

Google ads
Back to top button