TONTO SEKARANG DAH NAIK AUDI, BMW, HONDA EKORI PENGUATKUASA
Bukan lagi dianggap golongan tonto ‘B40’ yang mengekori kenderaan penguat kuasa menaiki pacuan empat roda, Perodua Myvi, kereta Proton model lama atau motosikal.
Kini kumpulan tonto upahan dikesan turut menggunakan kenderaan mewah model Audi, Honda atau BMW untuk tugas penyamaran dan mengekori penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau polis trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Salah seorang tonto yang mahu dikenali sebagai Kamal, 40-an, berkata, kumpulan tonto upahan masih aktif terutama bagi melindungi lori atau treler yang membawa muatan melebihi had ditetapkan.
Menurutnya, tonto upahan turut membantu syarikat korek pasir atau tanah yang tidak memiliki lesen perdagangan (GDL) untuk menghantar muatan ke lokasi ditetapkan.
“Penampilan kumpulan tonto ketika ini jauh berbeza berbanding beberapa tahun lalu yang mudah dikenal pasti pihak berkuasa. Dahulu tonto biasanya akan mengekori kenderaan JPJ dengan menaiki kereta Proton Waja atau pacuan empat roda berwarna hitam.
“Setiap kenderaan turut dilengkapi alat kemudahan komunikasi mobile walkie-talkie untuk menyalurkan maklumat kepada pemandu lori. Namun kini penampilan tonto lebih kemas, menggunakan kenderaan sedan mewah selain sukar dikenal pasti sebagai tonto.
“Apa yang penting tonto masih gigih membantu pemandu lori yang mahu mengejar trip (jumlah penghantaran), sekaligus mendapat komisen tinggi,” katanya kepada wartawan Harian Metro.
Selain mengekori pergerakan kenderaan pihak berkuasa, ada juga tonto yang memiliki hubungan baik dengan ‘orang dalam’ yang menyalurkan maklumat operasi agensi penguatkuasa.
Menurutnya, tonto ‘orang lama’ biasanya meletakkan harga tinggi bagi perkhidmatan ditawarkan terutama membabitkan lori membawa lebih muatan, tiada lesen memandu dan GDL serta cukai jalan tamat tempoh.
“Kenaikan kos sara hidup turut menyebabkan upah tonto meningkat. Kini mereka boleh memperoleh pendapatan sehingga menjangkau RM10,000 sebulan bergantung kepada tugas.
“Biasanya ‘team tonto’ akan memantau dahulu lokasi bakal dilalui lori atau treler bermasalah ini terutama di jalan persekutuan dan lebuh raya utama.
“Namun masa terbaik bagi lori ‘bermasalah’ ini bergerak menghantar muatan adalah pada waktu antara jam 2 pagi hingga 7 pagi. Ketika ini operasi atau sekatan jalan raya kurang dilakukan JPJ.
“Tonto turut akan memerhatikan pergerakan keluar masuk kenderaan penguatkuasa JPJ sama ada di pejabat JPJ atau Stesen Timbang hampir setiap masa. Jika terlalu banyak kenderaan yang dilihat ‘hilang’ dari parkir, itu bermakna ada operasi akan dilakukan,” katanya.
Sementara itu, risikan wartawan Harian Metro mendapati golongan tonto terus aktif menggunakan media sosial untuk menyalurkan maklumat keberadaan JPJ dan polis trafik.
Antara ayat biasa digunakan adalah ‘Tol Jitra clear (tiada JPJ) kedua arah’, ‘dari Kuala Lipis – Chegar Perah – Mentara – hentian MFC…jalan clear‘ , ‘Bukit 300 ke Serdang, polis blok (sekatan jalan raya), bulatan keliling Seberang Jaya, abang JPJ operasi’ dan pelbagai mesej lain.
Kebiasaannya tonto akan turut mengambil gambar curi sekatan jalan raya diadakan selain kenderaan JPJ yang dipantau di stesen timbang JPJ. – Harian Metro