Motosikal

JAMINAN 2 TAHUN DAN PERBATUAN TANPA HAD UNTUK MOTOSIKAL KAWASAKI/MODENAS YANG DIDAFTAR BERMULA 1 JULAI 2023

Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS), pengedar rasmi Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (MODENAS) hari ini mengumumkan pelaksanaan program jaminan 2 tahun dengan perbatuan tanpa had untuk semua model Kawasaki dan Modenas bersesaran 250cc hingga 1000cc yang didaftarkan mulai 1 Julai 2023.

Sebelum ini jaminan standard adalah 2 tahun atau 20,000km (mana-mana tiba dahulu. Tetapi dengan program jaminan baharu ini, pemilik kini boleh merasai prestasi sebenar motosikal Kawasaki tanpa ragu-ragu.

Program jaminan yang datang sebagai piawaian standard kilang terdiri daripada:

  • Kawasaki menjamin setiap produk baharu bebas daripada kecacatan pembuatan untuk tempoh 24 bulan dari tarikh asal jualan oleh pengedar Kawasaki yang sah.
  • Terma dan syarat yang sama dikenakan kepada pemilik baharu, tetapi ambil perhatian bahawa jaminan tamat dalam semua kes selepas tempoh tertentu dari tarikh jualan kepada pembeli asal.
  • Produk Kawasaki berprestasi terbaik dengan penyelenggaraan dan servis biasa. Setiap model mempunyai jadual penyelenggaraan yang direka untuk memastikan ia beroperasi pada tahap optimum. EMOS mengesyorkan kenderaan diservis oleh pengedar Kawasaki yang sah mengikut jadual servis yang diperincikan dalam manual pemilik.

Sebagai tambahan, perkhidmatan bantuan 24/7 akan disertakan dalam program jaminan baharu ini. Jaminan ini mempunyai terma dan syarat semasa yang sama seperti jaminan pengilang standard dan hendaklah kekal bersama motosikal apabila dijual atau dipindahkan kepada pemilik baharu.

“Dengan menghapuskan sekatan jarak daripada jaminan sedia ada, pengguna akan dapat menikmati pengalaman tunggangan dengan bebas dan tenang. Program ini juga sebagai tanda keyakinan MODENAS kepada semua pelanggan terhadap kualiti setiap produknya. 

“Pemilik diminta untuk mengikuti jadual servis di pusat servis atau pengedar Kawasaki / Modenas yang sah dengan teliti untuk mengelakkan jaminan terbatal,” kata  Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Roslan Roskan.

Maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi KAWASAKI Malaysia di :http://www.kawasaki.com.my/home atau hubungi talian bebas tol di 1-800-880-008 atau WhatsApp Careline di 019-570 8135.

Google ads
Back to top button