Buletin

TOYOTA COROLLA ALTIS BAHARU – DIREKA KHAS UNTUK ANDA

Toyota Corolla Altis baharu kini meneruskan tradisi 50 tahun Corolla dalam menawarkan sebuah kereta yang cukup sesuai dengan gaya hidup masa kini. Ia juga  meneruskan legasi sedan segmen-C yang terlaris di dunia dengan beberapa ciri terbaharu agar kelihatan lebih moden dan futuristik.

Selain impak visual yang cukup ketara, Corolla Altis dihasilkan khusus untuk memenuhi pelbagai keperluan dalam kehidupan anda. Malah ia turut dilengkapi ciri terbaik dan penuh dengan kualiti untuk ketenangan minda setiap pemiliknya. Bersedialah untuk merasai pengalaman pemanduan terkini dengan Toyota Corolla Altis baharu.

Melihat dari segi luaran, Corolla Altis mempunyai beberapa perubahan baru yang cukup menonjol. Antaranya ialah lampu hadapan LED, lengkap dengan lampu nyalaan siang (DRL) untuk varian 2.0V. Ia diintegrasikan bersama gril kemasan krom di bahagian tengah.

Ini jelas membuatkan Corolla Altis kelihatan cukup sofistikated, elegan dan dinamik. Rekaan itu diteruskan ke bahagian belakang di mana gugusan lampu turut menggunakan teknologi LED, di samping kemasan jaluran krom yang bergaya. Cermin sisi hadir dengan fungsi Auto Reverse Tilt Down memudahkan urusan ketika mengundur untuk parkir (Varian 2.0V & 1.8G).

Corolla Altis didatangkan dalam beberapa pilihan warna yang menawan. Antara warna yang boleh anda pilih ialah kelabu (Grey Metallic), hitam (Attitude Black), putih (White Pearl CS), perak (Silver Metallic), perang(Phantom Brown Metallic) dan merah (Red Mica Metallic).

Ruang kabin mengetengahkan rekaan yang bermutu tinggi. Daripada kemasan berkonsepkan tiga-lapisan, sehinggalah kepada tempat duduk kulit yang empuk dan selesa.

Semuanya didatangkan khusus untuk memberi keselesaan – tanpa mengira ke mana destinasi anda. Baik sekadar menghantar anak ke sekolah mahupun ke pejabat. Perjalanan dekat ataupun jauh akan ditempuhi dengan penuh kemewahan.

Paparan Meter Optitron (Varian 2.0V & 1.8G) dengan skrin paparan pelbagai informasi berwarna memberikan semua maklumat yang diperlukan sewaktu memandu. Penunjuk mod ekonomi (ECO) membuatkan anda mahu mengharungi perjalanan dengan lebih menjimatkan.

Bukan itu sahaja, sedan tersebut ada menawarkan ciri bantuan pemanduan berdasarkan keperluan pemandu. Inilah sebuah kereta yang dihasilkan khusus untuk anda. Sistem Cruise Control berfungsi mengekalkan kelajuan di hujung jari, tanpa perlu menekan pedal minyak (Variant 2.0V).

Berikan tulang belakang anda sokongan yang diperlukan dengan tempat duduk berkuasa di hadapan. Ia boleh dilaras ke hadapan, belakang, atas ataupun bawah mengikut kesesuaian (Varian 2.0V). Tempat duduk belakang juga boleh dilipat 60:40 dengan mudah untuk menambahkan ruang bagasi apabila perlu.

Kawalan penyaman udara dengan paparan LED memberikan maklumat bacaan dan tetapan yang ingin dipilih. Jika ingin penyejukan yang pantas dan cekap, ia hadir  dengan mod automatik.

Corolla Altis dibekalkan dengan kuasa secukupnya. Dua pilihan enjin ditawarkan iaitu Dual VVT-i 2.0 dan 1.8-liter yang dipadankan dengan transimisi CVT 7-kelajuan tukaran sequential.

Jika mahukan pemanduan yang sporty, mod Sport boleh diaktifkan dengan hanya menekan satu butang. Varian 2.0V juga dilengkapi ciri paddle shifter untuk memudahkan kedudukan gear ditukar secara lebih agresif dan tepat.

Aspek keselamatan menjadi fokus utama Toyota. Struktur badan GOA (Global Outstanding Assessment) memastikan ia menepati piawaian keselamatan di seluruh dunia. Ia mampu menyerap dan menyebarkan impak pelanggaran ke seluruh kerangka kenderaan.

Bahagian badannya cukup ringan tetapi teguh. Ia juga berupaya menghalang pembentukan karat dan menyerap bunyi dengan lebih baik menerusi penggunaan material kedap bunyi.

Ciri keselamatan lain seperti Vehicle Stability Control (VSC), sensor parkir dan ABS lengkap dengan Electronic Brake-Force Distribution (EBD) dan Brake Assist (BA) dijadikan sebagai ciri standard untuk semua  varian. Malah, Corolla Altis juga dibekalkan dengan tujuh beg udara demi meningkatkan  keselamatan pemandu dan penumpangnya.

Dengan semua ini, maka tidak hairanlah jika Corolla Altis telah menerima Anugerah Pengiktirafan Bintang Baru dan penarafan lima bintang daripada  ASEAN NCAP baru-baru ini.

Pendek kata, sedan ini dihasilkan khusus dengan kesempurnaan untuk gaya hidup seharian anda. Ia mempunyai semua elemen yang diperlukan untuk sebuah kereta idaman dan memastikan anda kelihatan elegan di tengah kesibukan trafik.

Maklumat lanjut mengenai Toyota Corolla Altis boleh didapati di pautan ini: http://tyt.my/2jYEg6t

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button