
PANDU UJI : HYUNDAI IONIQ – JENTERA HIBRID PADA NILAI TERBAIK
Ketika pengeluar lain seakan-akan sudah ‘move-on’ untuk menawarkan produk hibrid kepada pengguna tempatan, Hyundai mengejutkan ramai orang apabila memperkenalkan model hibrid terbaharunya, IONIQ.
Jika kita ikuti sejarah ringkas pengenalan model hibrid di Malaysia, pengeluar yang paling aktif menawarkannya ialah Honda Malaysia. Bermula dengan sedan Civic Hybrid dan kemudian hatchback Insight, Honda mengembangkan model hibridnya dengan model sporty CR-Z serta Jazz yang kemudian dipasang tempatan.
Pengeluar lain seperti Toyota juga tidak ketinggalan. Antara model yang pernah ditawarkannya ialah Prius, Prius C, sebelum ia memasang sedan Camry Hybrid di kilangnya di Shah Alam, Selangor.
BACA: RN30, 375HP – TUNGGU SEBENTAR. JADI INI MEMANG HYUNDAI?
Nissan turut memeriahkan tawaran model hibrid menerusi MPV Serena S-Hybrid. Menjadi satu-satunya MPV hibrid di pasaran, ia jelas memberi satu alternatif yang bagus kepada pengguna.
Namun, disebabkan beberapa faktor seperti jualan yang kurang memberangsangkan seperti diharapkan, selain pengenalan Dasar Automotif Nasional pada tahun 2014, tawaran model hibrid pada harga mampu milik semakin mengecil.
Ini kerana dasar tersebut hanya memberi pelepasan cukai kepada model hibrid yang dipasang tempatan. Jadi, model yang dibawa masuk secara CBU tidak lagi dapat ditawarkan pada harga kompetitif.
Kini, jika anda mahukan kenderaan hibrid atau plug-in hibrid, ia hanya ditawarkan oleh Toyota (Camry Hybrid), Volvo, Mercedes-Benz atau BMW. Sudah pasti, harganya lebih premium dan tidak berada dalam jangkauan ramai orang.
BACA: IKLAN HYUNDAI BUAT KEJUTAN DI AD METER USA TODAY
Situasi itu menyebabkan wujud vakum yang besar dalam segmen hibrid. Maka, kehadiran IONIQ dilihat memang tepat pada masanya. Lebih-lebih lagi ketika seluruh dunia berdepan dengan ketidaktentuan harga bahan api.
Di peringkat global, Hyundai menawarkan tiga varian IONIQ iaitu EV, PHEV dan hibrid biasa. Buat masa sekarang, pengedar kenderaan Hyundai di Malaysia, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) hanya menawarkan IONIQ versi hibrid.
Lebih mengejutkan, tanpa banyak hebahan IONIQ dipasang tempatan (CKD) di Kulim, Kedah. Ia jelas membuktikan keyakinan HSDM terhadap model hibrid pertama mereka itu. Dengar kata, setakat ini lebih 600 unit IONIQ sudah ditempah dengan sebahagian daripadanya akan mula dihantar ke pelanggan tidak lama lagi. Satu permulaan yang cukup baik nampaknya.
Namun persoalannya, adakah IONIQ mampu mengurangkan skeptikal pengguna tempatan terhadap kenderaan ‘hijau’ ini?
Untuk menjawab persoalan itu, IONIQ perlu dilihat dari beberapa segi. Bukan sekadar penjimatan atau jumlah emisi yang dikeluarkan daripada ekzosnya. Tetapi secara lebih menyeluruh melibatkan pakej harga, kelengkapan, teknologi, reka bentuk dan ciri yang ada padanya.
HSDM menawarkan dua varian IONIQ iaitu HEV dan HEV Plus. Harganya ialah RM100,328 untuk HEV dan RM114,000 (di atas jalan tidak termasuk insurans). Apa yang boleh saya katakan harga itu cukup berbaloi dengan apa yang ditawarkannya.
Sebelum ini, krew Mekanika Malaysia ada dijemput oleh pihak HSDM untuk satu sesi pandu uji IONIQ. Selepas melalui lebuh raya, sebelum memasuki laluan kampung di Semenyih dan Beranang, ia dapat mengubah persepsi sesiapa sahaja terhadap model ini.
Jika anda fikir IONIQ sebuah hibrid yang membosankan, anda silap. Dikuasakan oleh enjin Kappa GDI empat silinder bersesaran 1.6 liter dengan sistem pancitan bahan api dan Atkinson cycle, ia tidak mengecewakan.
Mampu menjana 105PS dan tork maksimum 147Nm, enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik klac berkembar (DCT) enam kelajuan. Kotak gear itu menawarkan hantaran kuasa yang tepat.
Motor elektrik pada IONIQ pula menyediakan kuasa setinggi 44PS yang diperah daripada pek bateri lithium-ion polymer berkapasiti 1.56kWh.
Rangkaian kuasa itu menawarkan dua mode pemanduan, Eco dan Sport. Bagi pemanduan di bandar dan memaksimumkan penjimatan, mode Eco memang membantu. Jika berada di laluan bengkang-bengkok dan mahu merasa dinamik pemanduannya pula, mode Sport tidak mengecewakan.
Sebaik sahaja mode Sport diaktifkan, pemandu dapat menggunakan kuasa enjin dan motor elektrik secara lebih agresif. Kluster instrument bertukar merah. Manakala stereng berasa lebih berat, jarum rpm meningkat dan hantaran kuasa juga menjadi lebih pantas.
Keseronokan pemanduan ditambah dengan talaan suspensi jenis multilink pada roda belakang yang meyakinkan. Bukan itu sahaja, anda tidak perlu bimbang dari segi keselamatan kerana IONIQ tampil bersedia dengan tujuh beg udara, sistem brek ABS, Brake Assist,Hill Start Assist dan Vehicle Stability Management (VSM) sebagai ciri standard.
Bagi varian HEV Plus, senarai sistem keselamatan ditambah dengan ciri Autonomous Emergency Braking System (AEB), Smart Cruise Control, Lane Keep Assist dan Blind Spot Detection (BSD) dan Lane Keeping Assist System (LKAS). Sesuatu yang agak mengejutkan untuk takat harga sebegini.
Dari segi penampilan, rekaan IONIQ memang sporty untuk sebuah hibrid. Bahagian hadapannya diserlahkan dengan lampu HID Bi-Xenon, gril lebar dan lampu nyalaan siang LED. Bahagian belakang pula nampak kemas dengan sepasang lampu bersama butiran LED. Apa yang pasti, IONIQ tidak over design.
Mempunyai tahap pekali seretan hanya 0.24 jurutera Hyundai jelas memikirkan semua aspek ketika membangunkan jentera hibrid ini. Misalnya, penggunaan besi regangan tunggi dan aluminium yang bukan sahaja membuatkan jentera ini lebih ringan, malah lebih tegar.
Masuk ke ruang kabin, anda pasti berpuas hati dengan kualiti kemasan dan materialnya yang kelihatan premium. Dimonopoli oleh warna hitam, calitan warna biru pada papan pemuka, corong pendingin hawa, butang penghidup enjin dan benang jahitan tempat duduk jelas memberikan kontras yang menarik.
Walaupun semua fungsi elektronik jentera ini memerlukan sedikit masa untuk difahami, namun ia tidaklah sesukar yang disangkakan. Kemudian, anda akan mengakui bahawa semua butang operasi berada di posisi yang betul dan mudah digunakan.
Ini adalah percubaan pertama HSDM untuk menawarkan model hibrid berjenama Korea Selatan kepada pengguna tempatan. Bagi saya, IONIQ memiliki pakej yang meyakinkan. Tidak yakin? Mungkin anda perlu pandu uji sendiri dan buatlah penilaian secara adil.