Artikel Pilihan

EX BOSS FERRARI – BUANG JE LA LOGO PRANCING HORSE TUE

Dunia automotif minggu ini digegarkan dengan satu kenyataan pedas daripada bekas pengerusi Ferrari, Luca di Montezemolo terhadap model EV pertama Ferrari yang dikenali sebagai Ferrari Luce. Kenyataan beliau memang cukup keras sampai boleh dianggap antara kritikan paling terbuka pernah dibuat oleh figura penting dalam sejarah moden Ferrari sendiri.

Dalam satu wawancara, Montezemolo secara terbuka meluahkan rasa kecewa terhadap hala tuju Ferrari menerusi Luce. Antara ayat yang paling mencuri perhatian ialah apabila beliau berkata beliau berharap Ferrari “sekurang-kurangnya membuang logo kuda Ferrari” daripada kereta tersebut.

Kenyataan itu mungkin kedengaran keterlaluan, terutama apabila datang daripada individu yang pernah mengetuai Ferrari selama lebih dua dekad. Montezemolo bukan sekadar bekas eksekutif biasa. Beliau ialah antara individu yang memainkan peranan penting dalam kebangkitan Ferrari moden, termasuk era dominasi Formula 1 bersama Michael Schumacher pada awal 2000-an.

Apa yang membuatkan kritikan ini lebih menarik ialah ia bukan tertumpu kepada prestasi, sebaliknya isu sebenar ialah identiti rekaan yang digunakan oleh model Luce. Ferrari Luce merupakan EV pertama sepenuhnya daripada Ferrari dengan pendekatan yang sangat berbeza daripada Ferrari tradisional.

Kereta ini menggunakan konfigurasi empat pintu dan lima tempat duduk, selain reka bentuk badan yang lebih tinggi dan praktikal. Ada yang menggambarkannya sebagai gabungan antara crossover mewah, MPV futuristik dan grand tourer elektrik.

Menurut beberapa reaksi netizen, jika logo Ferrari dibuang daripada badan kereta tersebut ramai mungkin tidak akan menyangka ia datang dari Maranello. Ini jauh berbeza dengan Ferrari Purosangue yang walaupun merupakan SUV pertama Ferrari, masih berjaya mengekalkan DNA rekaan dan aura Ferrari tradisional.

Montezemolo turut menyindir reka bentuk Luce dengan satu lagi kenyataan sinis apabila beliau berkata, “sekurang-kurangnya orang China tidak akan menirunya.” Ramai melihat kenyataan itu sebagai sindiran bahawa reka bentuk Luce terlalu pelik atau terlalu hambar untuk dijadikan inspirasi oleh pengeluar lain.

Luce dibangunkan bersama firma reka bentuk LoveFrom milik Jony Ive dan Marc Newson iaitu bekas jurureka bentuk Apple. Atas sebab itulah ramai pemerhati automotif mengatakan Luce mempunyai sentuhan yang sangat iPhone atau iPad yang minimalis

Namun falsafah reka bentuk sebegitu mungkin bertembung dengan identiti tradisional Ferrari yang selama ini terkenal dengan elemen dramatik, agresif dan emosional.

Dari sudut prestasi pula, Ferrari Luce sebenarnya sangat mengagumkan di atas kertas. Laporan awal menyebut ia dijangka menghasilkan lebih 1,000 hp dengan sistem quad-motor AWD dan pecutan 0-100 km/j sekitar 2.5 saat. Secara teknikal, ia masih berada dalam wilayah supercar jika dibandingkan dengan kereta bernjin

Tetapi dalam dunia Ferrari, angka semata-mata tidak pernah cukup. Ferrari selama ini menjual emosi menerusi bunyi enjin V8 atau V12, karakter mekanikal, getaran stereng, dan pengalaman memandu yang terasa hidup. Apabila sebuah Ferrari menjadi terlalu senyap, terlalu digital dan terlalu steril, sebahagian peminat mula merasakan emosi memandu telah hilang.

Reaksi pasaran terhadap Luce juga agak bercampur. Selepas pelancarannya, saham Ferrari dilaporkan mengalami penurunan sebanyak 8% dan media antarabangsa mula mempersoalkan sama ada Ferrari telah pergi terlalu jauh dalam mengejar masa depan elektrik.

Namun dari sudut lain, Ferrari mungkin memang sengaja mahu menghasilkan kereta yang terlalu biasa-biasa. Mereka tahu pelanggan EV mewah generasi baharu, khususnya golongan billionaire teknologi dan pasaran China, mungkin mahukan sesuatu yang lebih moden dan radikal berbanding Ferrari tradisional.

Google ads
Back to top button