Artikel Pilihan

TOYOTA PERLUKAN 210 MINIT UNTUK PEMERIKSAAN TELITI MODEL CENTURY

Toyota Century 2023 merupakan satu projek yang dihasilkan oleh Toyota, diketuai oleh Yoshikazu Tanaka yang menyertai Toyota pada tahun 1987 dan rekaannya pula diselia oleh Tatsuyda Sonoda yang telah menghasilkan 30 model terkemuka Toyota.

Walaupun kelihatan seperti sebuah SUV, Toyota enggan menggunakan terma tersebut pada model terbaru Century. Secara rasmi Toyota menamakan model ini sebagai “konsep baru mobiliti kenderaan dengan pemandu” yang dijual dengan harga sekitar hampir RM 800,000 di Jepun. Selain golongan VIP, ia turut disasarkan pada golongan muda yang berduit

Toyota Century dihasilkan di Toyota Tahara Plant, kilang yang sama menghasilkan kebanyakan model Lexus untuk Toyota. Berbeza dengan model lain, Century wajib melalui pemeriksaan ketat yang dilakukan oleh Master Inspector bagi memastikan semua komponen, kualiti dan mutu memenuhi kehendak Toyota.

Master Inspector wajib menjalani latihan dan program secara intensif bagi mendapatkan sijil sebagai Master Inspector untuk model Century sebelum layak untuk bekerja. Ini kerana terdapat 17 SOP yang perlu dilakukan termasuk pemeriksaan cat dan sistem trenkuasa.

Malah semua Master Inspector juga wajib memeriksa pemasangan semua panel agar sekata dan memeriksa kualiti sambungan yang tidak kemas. Menurut Moriaki Higa yang sebelum ini bertugas sebagai Master Inspector untuk Lexus, standard dan penanda aras untuk Century lebih tinggi berbanding dengan Lexus sendiri.

Berbeza dengan model Toyota lain yang pemeriksaannya dibuat secara sampel rawak, semua model Century wajib diperiksa secara individual dengan teliti. Sekiranya terdapat masalah dengan cat, model tersebut akan dihantar ke bahagian pemulihan cat selepas selesai pemeriksaan.

Sekiranya semua komponen dipasang dengan mengikut SOP Toyota, Century akan dipandu dalam mode elektrik ke stesen seterusnya untuk pemeriksaan lampu depan, tetapan tayar dan juga dipandu uji di atas litar dengan ujian khas bagi mengesan sebarang bunyi yang pelik kedengaran. Toyota juga dilaporkan membangunkan ujian khas untuk menguji Century apabila ia dipandu dalam mode elektrik sepenuhnya

Jika semua ujian ini dilakukan, Toyota Century memerlukan sehingga 3 jam 30 minit bagi pemeriksaan kualiti. Toyota menyasarkan jualan sebanyak 30 unit Century bagi setiap bulan, maka kita boleh anggarkan bahawa hanya 1 unit sahaja dihasilkan setiap hari.

Google ads
Back to top button