Buletin

TWR SUPERCAT DIPERKENAL SECARA RASMI, ASAL DARIPADA JAGUAR XJS, LEBIH RM1.2 JUTA!

Pada Mei lalu Mekanika melaporkan mengenai projek Supercat oleh TWR. Syarikat ditubuhkan pada 2020 oleh Fergus Walkinshaw dan John Kane.

Fergus merupakan anak kepada pelumba Tom Walkinshaw, individu di sebalik TWE asal atau Tom Walkinshaw Racing dan jagoan yang pernah memenangi Kejohanan Kereta Touring Eropah, Spa 24 Jam dan Barthust pada era 80-an.

Projek ini telah siap dan diperkenal secara rasmi kepada umum. Seperti yang dimaklumkan, TWR Supercat diasaskan daripada Jaguar XJS dan turut membawa elemen rekaan model ikonik seperti XJR-9, XJR-15 dan XJ220.

TWR membangunkan Supercat sebagai sebuah kereta Super-GT (grand tourer).

Bahagian depan kereta dipasang enjin 5.6 liter V12 dengan pengecas lampau dan kotak gear manual enam kelajuan yang memacu roda belakang. Kuasa? 660 bhp dan 730Nm!

Bagi menampung lonjakan kuasa, struktur badan diperkukuh dengan rangka besi tiub T45 dan menariknya panel badan Supercat dibuat daripada gentian karbon. 

Berat kereta turun sebanyak 9.3 peratus kepada 1,605 kilogram (kg) berbanding 1,770 kg pada XJS.

Satu lagi yang menarik, ampaian double wishbone menggunakan sistem redaman dinamik aktif untuk pemanduan selesa ketika memandu jauh.

Sistem aktif juga dapat memberikan maklum balas jitu dan memenuhi keperluan kestabilan di laluan berliku dan di litar.

Pelanggan ditawarkan brek cakera seramik, kawalan cengkaman boleh ubah, kawalan pelancaran dan lima mod pemanduan.

Pada bahagian dalam, pemandu dapat menikmati dunia digital pada skrin di sebalik stereng dan tengah papan pemuka.

Adunan klasik dan moden diteruskan pada pilihan kerusi balutan kulit dan cengkerang gentian karbon.

Reka bentuk Supercat yang menyerlah adalah hasil tangan Khyzyl Saleem, penggaya digital dan konsep kereta tiga dimensi dan personaliti media sosial. Satu lagi nama besar yang terlibat ialah Magnus Walker.

Bukan sekadar rekaan, reka bentuk Khyzyl Saleem dinilai dari segi kecekapan aerodinamik oleh pakar aerodinamik Mercedes-Benz F1.

Banyak perubahan dan penambahan dibuat bagi mendapatkan aerodinamik dan daya mendap.

Selain pengubahsuaian dan perkakasan baharu, lebar kereta juga bertambah, daripada 1,793 mm kepada 1,975mm. Secara keseluruhan, Supercat nampak seperti raksasa yang menjalar atas jalan.

Badan yang lebar dan berotot dipadan bersama rim monoblock TWR gaya lama saiz 18 inci dengan tayar 275 / 35 di depan dan 325 / 30 ZR19 di belakang. Jauh berbeza daripada rim 15 inci asal.

Supercat hanya dikeluarkan sebanyak 88 buah sahaja dan angka itu merujuk kepada kemenangan Tom Walkinshaw bersama XJR-9 di dalam perlumbaan Le Mans 1988.

Setiap Supercat dibuat mengikut pesanan dan pelanggan diberi pelbagai pilihan bagi memenuhi citarasa peribadi. Supercat dihasilkan untuk pemilik yang memandu di sebelah kanan atau kiri jalan raya.

Harga bergantung kepada spesifikasi yang dimahukan pelanggan dan bermula daripada 225,000 pound (RM1,270,812) dan tidak termasuk cukai setempat.

Penghantaran pertama dijangka pada musim panas 2025 (Jun – September).

Google ads
Back to top button