
TWR SUPERCAT, ENJIN V12 LEBIH 600 BHP, DIASASKAN DARI JAGUAR XJS
TWR ditubuhkan pada 2020 oleh Fergus Walkinshaw dan John Kane. Fergus merupakan anak kepada pelumba Tom Walkinshaw.
Selepas lebih dua tahun dalam pembangunan, TWR memperkenalkan model kereta yang pertama iaitu Supercat dengan enjin V12 dan diasaskan dari pelantar Jaguar XJS.
Tempahan juga dibuka sebelum pengenalan rasmi beberapa bulan lagi. Walaupun dibuka, mereka yang berminat perlu cepat kerana Supercat dibuat 88 buah sahaja.
Tom Walkinshaw Racing (pasukan lumba milik ayah pengasas) mempunyai sejarah kemenangan yang panjang bersama Jaguar dan XJS dan tidak menghairankan kenapa projek ini melibatkan kereta Jaguar.

Jumlah 88 buah sempena kemenangan Le Mans 1988 dengan kereta TWR Jaguar XJR-9.
Inspirasi kereta ini diambil dari projek hebat terdahulu yang digunakan di dalam Le Mans seperti XJR-9, XJR-15 dan juga kereta super XJ220.
Ada lagi yang menarik, projek ini juga melibatkan individu terkenal seperti Magnus Walker yang menjadi Perunding Reka Bentuk dan Khyzyl Saleem sebagai Pereka Kenderaan.
Reka Bentuk Supercat luar biasa dan seperti gambar dari media sosial yang dihasilkan dalam bentuk pengeluaran.

Kerja-kerja kejuruteraan diterajui sendiri oleh Fergus Walkinshaw.
Beliau telah menghimpunkan sekumpulan individu teknikal dan operasi yang mempunyai pengalaman dalam sukan permotoran dan pembangunan kereta.
Di antaranya McLaren, Ferrari, Porsche, Williams, Mercedes F1 dan Renault F1.
Program pengujian dan pembangunan turut dijalankan di tempat percubaan (proving-ground) yang digunakan jenama berprestasi, pasukan F1 dan pakar prestasi.

Pengaruh XJS memang jelas kelihatan namun kesemua panel badan dibuat semula menggunakan gentian karbon yang menurunkan berat selain penambahbaikan dari segi seretan dan lebih tegar.
Tiada maklumat terperinci mengenai rangkaian kuasa selain enjin V12 supercas dengan padanan kotak gear manual dan pacuan roda belakang. Kuasa yang dihasilkan lebih 600 bhp.
Pelanggan yang berminat perlu meletakkan deposit sebanyak 10,000 pound (RM59,513) dan harga sebuah Supercat bermula daripada 225,000 pound (RM1,339,046).
Harga itu tidak termasuk cukai setempat dan spesifikasi yang dimahukan pelanggan.




