
KITAB MITSUBISHI EVOLUTION – JILID 2
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Nampaknya setelah 8 bulan semenjak Jilid 1 dikeluarkan, dapat juga naskah jilid ke 2 ini di siapkan.
Baiklah,
Jilid ke-2 ini semestinya memberi fokus kepada jentera Mitsubishi Lancer Evolution 2. Mari sama-sama kita selusuri cerita tentang jentera ini.
𝐏𝐄𝐌𝐁𝐀𝐍𝐆𝐔𝐍𝐀𝐍
Di Jilid 1 kita dapat melihat dimana sejarah pembangunan Mitsubishi Lancer Evolution berkait rapat dengan Mitsubishi Galant VR-4. Namun begitu, untuk jentera Mitsubishi Lancer Evolution 2, ia adalah titik tolak kepada berkembangnya legasi Lancer Evolution.
Bukan apa, biasa nak dapat yang kedua ni payah. Lepas dapat je yang kedua nak pergi yang ketiga mahupun keempat akan menjadi lebih mudah. Macam lain pula bunyinya.
Pembangunan model Lancer Evolution 2 ini sebenarnya sudah bermula ketika Lancer Evolution 1 masih berada di pasaran. Hal ini kerana pihak Mitsubishi giat mengembangkan program Motorsport mereka.

Oleh itu, nama-nama seperti :-
Masao Taguchi – Ketua Jurutera
Akira Kawada – Ketua Rekaan
Tommi Makinen – Pemandu Rally
Risto Virtanen – “Co-Driver” Tommi Makinen
Andrew Cowan – “Founder” Ralliart
Nama-nama ini merupakan orang yang bertanggungjawab membangunkan Lancer Evolution 2. Bukan calang-calang nama ye Tuan-Tuan. Ini juga membuktikan pihak Mitsubishi betul-betul serius untuk menempa nama di persada dunia.
Untuk memenuhi syarat FIA Group A, Mitsubishi perlu memproduksikan kira-kira 5,000 unit dan 2,500 unit hendaklah diproduksikan dalam masa 12 bulan.
Namun itu tidak menjadi masalah buat pihak Mitsubishi. 5,000 unit yang diproduksi habis terjual dan 2,500 unit daripada 5,000 unit yang diproduksikan di eksport keluar negara seperti United Kingdom, Australia dan juga New Zealand.
Eksport ?
Tak. Pihak Mitsubishi tidak menjual model ini di negara yang disebutkan secara rasmi namun dia dibawa keluar dari Jepun oleh pengimport bebas.
Apabila syarat homoglasi telah dipatuhi, jentera ini mula masuk ke dunia Rally dan melakukan debut pada tahun 1994. Biasalah, baru masuk takkan terus menang. Hero kalah dulu. Namun tahun-tahun seterusnya menjadi sejarah gemilang buat Mitsubishi.

Sekarang kita pergi pula lebih dalam kepada spesifikasi jentera ini.
𝐂𝐄𝐒𝐈
Sepertimana Lancer Evolution 1, Lancer Evolution 2 juga mengambil asas daripada Mitsubishi Lancer. Namun begitu cesi yang digunakan adalah berbeza sama sekali terutamanya faktor ketegaran cesi itu sendiri.
Bagi model Lancer Evolution 2 ini, kod cesi baru diperkenalkan dan rasanya kod ini merupakan kod paling popular di Malaysia kita yang tercinta. Kod ini diberi nama “CE9A”.
Dengar kod cesi ni pun dah gerun. Baik pemilik, peminat, anggota JPJ, anggota Polis, pemeriksa di Puspakom, sesiapa sahaja yang melihat kod ini di cesi mahupun di geran nescaya akan naik bulu romanya.
Penukaran kod cesi ini juga signifikan kerana Lancer Evolution 2 menerima penambahan “Spot Welds” sekaligus memberikan cesi yang lebih kukuh dan tegar berbanding Lancer Evolution 1.
Selain itu, disebabkan sistem brek juga merupakan salah satu daripada cesi, kita sebut juga disini.
Sistem brek Lancer Evolution 2 ditambah baik dengan menggunakan rotor bersaiz 276mm pada bahagian hadapan dan 260mm pada bahagian belakang. Sebagai perbandingan, Lamcer Evolution 1 menggunakan rotor bersaiz 255mm pada bahagian hadapan dan 254mm pada bahagian belakang.
Selain itu, Lancer Evolution 2 juga menggunakan “Master Cylinder” & “Brake Booster” yang lebih besar daripada Lancer Evolution 1.
Sistem suspensi juga ditambah baik dengan menggunakan set spring yang lebih keras, penyerap hentak yang lebih baik dan juga “Anti-Roll Bar” yang lebih besar. Penambahbaikan ini memberikan kesan signifikan kepada pengendalian jentera ini.

Akhir sekali ialah Lancer Evolution 2 adalah lebih ringan sebanyak 20kg berbanding Lancer Evolution 1. Berat bagi Lancer Evolution 2 adalah seberat 1,250kg sahaja. Daktor ini dapat dicapai dengan penggunaan komponen daripada material alumunium. Sebagai contoh, bonet hadapan.
Habis bab cesi, kita pergi pula kepada jantung jentera ini.
𝐄𝐍𝐉𝐈𝐍 & 𝐓𝐑𝐀𝐍𝐒𝐌𝐈𝐒𝐈
Jentera Lancer Evolution 2 ini dilengkapi dengan enjin berkod 4G63T bersesaran 1,997cc(2.0L) sepertimana yang terdapat di dalam ruangan enjin Lancer Evolution 1.
Namun begitu, terdapat beberapa penambahanbaikan dilakukan pada model Lancer Evolution 2.
Antaranya adalah model ini menerima set “Intake Manifold” dan “Intercooler” yang ditambah baik. Selain itu, ia juga menerima “Fuel Pump” yang lebih besar serta sistem ekzos yang direka semula.
Unit pendesak turbo juga ditambah baik dengan rekaan baru pada kipas turbo dan juga “Turbo Housing”. Unit turbo ini juga menerima set “Wastegate Actuator” yang lebih besar.
Dengan segala penambahbaikan dan talaan semula, enjin ini sekarang mampu menghamburkan kuasa sehingga 256hp berbanding 244hp pada Lancer Evolution 1. Nilai daya kilas masih tetap sama iaitu sekuat 309Nm.
Kuasa yang hebat ini kemudian disalurkan ke sistem transmisi 5-kelajuan manual.

Sistem transmisi manual pada jentera ini juga menerima penambahbaikan dimana ia menerima :-
- Klac
- “Syncro”
- “Gear Set”
Ketiga-tiga komponen ini ditambah baik dari segi material ia dibuat bagi memastikan ia mampu disesah tanpa masalah.
Setelah melalui sistem transmisi, kuasa kemudiannya dihantar ke gandar hadapan dan belakang yang dilengkapi dengan “Limited Slip Differential” (LSD) jenis mekanikal menggantikan LSD jenis”Viscous” yang terdapat pada Lancer Evolution 1.
Jadi Tuan-Tuan, bukan sedikit ye sebenarnya penambahbaikan yang dilakukan oleh pihak Mitsubishi pasa Lancer Evolution 2 ini berbanding Lancer Evolution 1.
Sekarang kita pergi pula kepada varian yang terdapat di dalam pasaran
𝐕𝐀𝐑𝐈𝐀𝐍
Mitsubishi Lancer Evolution 2 mempunyai 2 varian iaitu GSR dan juga RS. Model GSR menerima ciri-ciri keselesaan yang membuatkannya selesa dipandu di jalanraya secara sah.
Varian RS pula merupakan varian paling asas dan merupakan jentera yang diproduksi sesuai untuk kegunaan di litar. Mana tidaknya, sistem pendingin hawa pun tiada. Kebanyakan varian RS dijual kepada pasukan yang bertanding di kejohanan “Rally” dan juga “Touring Car” tidak kira amatur ataupun professional.
Jadi Tuan-Tuan, ini lah sedikit sebanyak kisah tentang sebuah Mitsubishi Lancer Evolution 2. Kita bertemu kembali di Jilid 3.